KL Bike Week 2017 Menggegarkan Ibu Kota!

 

  • KL Bike Week 2017 telah dianjurkan dengan jayanya pada hari Jumaat dan Sabtu yang lalu di TREC Kuala Lumpur.
  • Ribuan penunggang motosikal telah membanjiri tapak acara berkenaan bagi meraikan segala-galanya yang berkaitan dengan motosikal beserta dengan penyertaan daripada pelbagai perniagaan.
  • BMW Motorrad, Indian Motorcycles, dan The Gasket Alley juga turut serta dalam memperagakan barang dagangan terbaik mereka buat para pengunjung.

Sebagai sebahagian daripada tradisi ibu kota negara kita yang telah pun dijalankan untuk hampir satu dekad, acara Kuala Lumpur Bike 2017 telah menyaksikan perhimpunan ribuan penunggang motosikal dari seluruh negara dan juga dari negara-negara jiran di TREC.

Ruangan terbuka telah diubah suai menjadi tapak acara yang gempa sekali di mana sebuah pentas didirikan di tengah-tengah tapak. Perniagaan dan syarikat motosikal mengambil peluang untuk mendirikan tapak dan memperagakan segala barang dagangan mereka yang terbaik.

Sebahagian daripada nama-nama besar dalam industri seperti BMW Motorrad Malaysia, Indian Motorcycles, dan The Gasket Alley telah turut serta memeriahkan lagi KL Bike Week 2017 ini. Acara dua hari ini ini berlangsung pada hari Jumaat dan Sabtu yang lalu dan kami cukup bernasib baik dapat mengunjungi acara berkenaan pada hari terakhirnya.

Sebaik sahaja tiba sebelum waktu tengahari lagi, orang ramai telah membanjiri dan dapat dilihat sahabat handai dan rakan taulan dari kelab motosikal berlainan beramah mesra dan bergelak ketawa bersama, membuktikan betapa rapatnya persaudaraan di antara para penunggang motosikal.

Kami telah meluangkan masa melepak di kawasan istirehat The Gasket Alley yang terletak secara strategik di hadapan pentas dan bersebelahan dengan tapak kelab motosikal gergasi seperti Iron Head MG, Violent Storm MG, dan bermacam-macam lagi.

Kumpulan Motosikal Iron Head yang bertapak di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini telah menyambut ulang tahun pertama mereka sebagai sebuah kelab motosikal ternama di dalam negara. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.

Lebih ramai pengunjung telah mula membanjiri acara pada sebelah petangnya. Kami dikejutkan dengan kemunculan segerombolan “Predators” yang telah mengujakan lagi para hadirin. Dikenali sebagai Alien Bikers Group, kumpulan penggemar motosikal yang bertapak di Pahang ini adalah pengunjung setia acara Bike Week di seluruh Malaysia dan yang bagusnya mengenai mereka ini adalah mereka juga banyak terlibat dengan acara-acara kebajikan!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Alien Bikers Group, TEKAN SINI.

Setelah acara KL Bike Week 2017 dilancarkan secara rasmi, beberapa buah pertunjukan daripada kugiran-kugiran seperti Mbex Firdhaus, IronMan Band, Rasta Sindiket, dan banyak lagi telah menghiburkan para pengunjung sehingga ke lewat malam.

Secara keseluruhannya, ianya sebuah acara yang cukup hebat sekali, memandangkan yang para penganjur hanya mendapat segala kebenaran yang diperlukan beberapa minggu yang lalu, Walaupun acara KL Bike Week tahun ini tampak lebih besederhana berbanding tahun-tahun yang lalu, ianya telah menunjukkan yang semangat dan persaudaraan dalam industri permotosikalan di Malaysia tidak akan malap dan akan terus berdiri teguh dan bertambah kuat dari masa ke semasa.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]