Sambutan Ulang Tahun Pertama Iron Head MG!

 

  • Iron Head Motorcycle Group adalah sebuah kumpulan bermotosikal yang bertapak di Chukai, Kemaman, Terengganu.
  • Mereka juga mempunyai sebuah bengkel yang dinamakan Iron Head Garage di bandar yang sama.
  • Ahli kumpulan bermotosikal ini bergerak dengan aktif dalam kancah motosikal negara.

Gaya hidup permotosikalan boleh membuka peluang untuk anda berkenalan dengan mereka yang mempunyai keghairahan yang sama seperti anda, dan dari perkenalan itu wujud semangat setiakawan yang semakin berkembang. Tanpa anda sedari, bilangan rakan-rakan semakin bertambah besar dan akhirnya, lahirlah satu kumpulan, yang melambangkan perikatan di kalangan ahli kumpulan tersebut.

Iron Head Motorcycle Group (IHMG) baru sahaja menyambut ulang tahun yang pertamanya di satu majlis besar-besaran semalam (15 September 2017), di G Hotel, Jalan Tun Razak.

IHMG telah mengirim jemputan buat Kumpulan Motosikal (MG), Kelab Motosikal (MC), dan kumpulan pemilik Harley Davidson yang lain bagi memeriahkan keraian, dan oleh kerana itu, ratusan telah menghadirkan diri bagi menunjuk sokongan mereka. Ianya termasuklah dari kumpulan yang telah lama berada di tanah air kita seperti Violent Storm, Exile, banyak lagi. Kumpulan-kumpulan ini kemudiannya bertukaran plaque dengan IHMG sebagai tanda persahabatan dan sokongan sesama mereka.

Turut hadir pada majlis ini bersama dengan kumpulan motosikalnya, Wings Society, adalah superstar terkenal negara, Datuk Awie.

Kehadiran ratusan penunggang motosikal kemas mengebarkan “warna” (jaket kulit tanpa lengan yang dihiasi dengan lambang kumpulan masing-masing) mungkin tampak menggerunkan buat sesetengah orang, tetapi suasana keseluruhan majlis ini lebih kepada satu sesi ramah mesra antara kawan-kawan dan sahabat handai yang hadir untuk menyambut persahabatan serta semangat setiakawan di antara para penunggang motosikal.

IHMG telah ditubuhkan pada 11 Jun 2016, oleh En. Bob bersama-sama dengan 8 orang ahli kumpulan. Bertapak di Chukai, Kemaman, Terengganu, IHMG juga turut memiliki sebuah bengkel mereka sendiri, dinamakan Iron Head Garage, yang terletak di bandar yang sama. Bengkel itu telah didaftarkan pada 23 Februari 2016.

Piagam Kumpulan Motosikal ini adalah, “Untuk berkongsi keghairahan sukan permotoran di kalangan peminat penunggangan motosikal tempatan,” dan ianya tampak jelas sekali yang mereka cukup gemar untuk menunggang.

Motosikal Harley Davidson Road Glide milik En. Bob telah dikhususkan sepenuhnya, lengkap dengan kemasan jalur-jalur halus hasil kerja tangan Rolling Ink, dan telah pun membuat kemunculannya di Art of Speed (AOS) 2017.

TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut liputan kami mengenai acara tersebut.

Setakat bulan September 2017, buku log IHMG telah menyenaraikan 16 aktiviti rasmi yang telah mereka sertai, termasuklah acara-acara berprestij seperti East Coast Harley Day dan Terengganu Bike Week pada bulan Mac, Sungai Golok International Bike Week pada bulan April, Kelantan International Bike Week dan juga AOS pada bulan Julai, dan terbaru, Port Dickson International Bike Week. En. Bob juga telah menunggang ke Banjaran Himalaya pada bulan Julai yang lalu.

Bengkel milik IHMG, Iron Head Garage, menyediakan khidmat penyelenggaraan, talaan enjin, pengubahsuaian dan juga menjual alat ganti motosikal ‘chopper‘. Ianya dilengkapi dengan sistem diagnostik berkomputer untuk mengenalpasti permasalahan, dan mereka juga turut menawarkan perkhidmatan mengambil kenderaan yang rosak.

Anda boleh layari laman Facebook Iron Head MG DI SINI, atau laman Facebook Iron Head Garage DI SINI.

GALERI GAMBAR

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.