Warna Baru Bagi Suzuki GSX-R1000 2018 Dan GSX-R1000R

  • Suzuki telah mengumumkan bahawa motosikal Suzuki GSX-R1000 dan GSX-R1000R 2018 mereka akan boleh didapati dalam warna baru pada tahun hadapan.
  • Skema warna putih keseluruhan dengan kemasan garisan biru boleh didapati buat kedua-dua model berkenaan.
  • Bagi mereka yang menggemari GSX-R1000R, ianya juga didatangkan dengan pilihan warna yang berlainan iaitu skema warna hitam yang menggerunkan dengan kemasan warna kelabu.

 

Walaupun rangkaian motosikal superbike premier utama Suzuki kekal sama bagi tahun 2018, mereka telah mengumumkan yang kedua-dua model GSX-R1000 dan GSX-R1000R 2018 akan boleh didapati dalam skema warna serba baru bagi tahun yang akan datang.

Berbanding dengan model-model tahun 2017 di mana mereka telah menghiasinya dengan kemasan warna yang sama seperti motosikal perlumbaan MotoGP yang telah digunakan oleh pasukan Team SUZUKI ECSTAR mereka, iaitu GSX-R1000RR, gabungan warna ikonik biru dan kuning itu telah digantikan dengan skema warna putih yang lebih segar beserta dengan kemasan garisan berwarna biru.

Motosikal GSX-R1000 2018 juga didatangkan dengan skema warna hitam dengan kemasan garisan biru seperti pada gambar di atas.

Bagi mereka yang lebih menggemari GSX-R1000R, anda mempunyai satu lagi pilihan tambahan. Didatangkan dengan kemasan warna hitam yang menggerunkan beserta kemasan garisan berwarna kelabu, rupa parasnya tampak lebih menggiurkan daripada apa yang dapat kami gambarkan dengan kata-kata, seperti mana yang boleh anda lihat pada gambar di bawah.

Dijana oleh enjin sejukan cecair, empat-selari, 999cc, dilengkapi dengan kelengkapan terkini daripada Suzuki, rangkaian motosikal GSX-R1000 terkini ini menghasilkan 182hp dan 116Nm tork maksima. Kelengkapan-kelengkapan menakjubkan yang lain adalah “Advanced-Inertial Measurement Unit” (IMU), “10-level Motion Track Traction Control System” (TCS), fork Showa BFF, dan bermacam-macam lagi kelengkapan yang mengagumkan.

Dengan sejarah yang penuh kegemilangan dalam perlumbaan, Suzuki tetap kekal sebagai ‘underdog‘, berbanding dengan pengeluar lain dalam lapangan ini. Keputusan perlumbaan mereka dalam pelbagai siri perlumbaan bagaimana pun telah membuat ramai berasa kagum dengan kebolehan mereka, dan ini termasuklah dalam acara perlumbaan jalan raya paling menggerunkan dunia, Isle of Man TT.

Sumber imej: MCN

Malah, motosikal Suzuki GSX-R1000R yang telah dikemudi penunggang legenda Michael Dunlop telah memenangi perlumbaan Senior TT yang terbaru, selepas dia mengatasi cabaran daripada Peter Hickman (Smiths BWM) dan Dean Harrison (Silicone Engineering Kawasaki).

Sumber imej: MCN

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keputusan perlumbaan Isle of Man Senior 2017, TEKAN SINI.

Tiada lagi berita tentang harga mahu pun sekiranya ianya akan berada di Malaysia pada waktu ini, namun, sebaik sahaja kami mendapat maklumat terkini dari Suzuki Assemblers Malaysia (SAM), kami akan maklumkan kepada anda semua. Harap-harapnya, mereka akan menganjurkan lagi sesi tunggang uji yang menyeronokkan seperti mana yang telah mereka lakukan beberapa bulan yang lalu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sesi tunggang uji Suzuki, TEKAN SINI.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.