- Eastern Bobber bersama dengan motosikal buatan khas yang menakjubkan mereka itu bakal menjadi wakil pertama dari Malaysia yang akan bertanding di AMD World Championship of Custom Bike Building di Jerman pada tahun hadapan.
- Pertandingan motosikal buatan khas yang telah dianjurkan semasa karnival Motonation di Putrajaya pada hujung minggu lalu telah menyaksikan lapan penyertaan dari Rusty Factory, Beautiful Machines, serta ramai lagi pembina-pembina yang lain.
- Pemenangnya telah dipilih oleh ‘Showmaster’ AMD sendiri, Neil Blaber.
Lapan buah motosikal buatan khas yang telah menyertainya, dan sebuah telah muncul sebagai juara. Daripada pelbagai ciptaan buatan khas yang menakjubkan yang telah menyertai pertandingan motosikal buatan khas anjuran Motonation sewaktu festival besar-besaran mereka di Putrajaya pada hujung minggu yang lalu, Eastern Bobber beserta jentera mengagumkan mereka itu telah memenangi apa yang kami anggap sebagai pertandingan motosikal buatan khas yang paling menarik di Malaysia buat setakat ini.
Ke semua motosikal-motosikal yang amat menakjubkan ini telah diadili oleh ‘Showmaster’ AMD sendiri, Neil Blaber. Dan dengan bantuan kerjasama Motonation dan AMD INTERMOT, Eastern Bobber beserta ciptaan hebat mereka itu telah memenangi tajaan perjalanan serta penyertaan ke ‘AMD World Championship of Custom Building 2018’ yang akan berlangsung sewaktu INTERMOT di Cologne, Jerman.
Dianggap sebagai salah sebuah pertandingan motosikal buatan khas yang paling didambakan dalam dunia, Eastern Bobber bakal menjadi wakil sulung Malaysia yang akan menyertai kejohanan motosikal buatan khas itu. Bertapak di bandar Baru Bangi, Selangor, Eastern Bobber dikendalikan oleh Mr. President, Omar Kassim, atau lebih mesra dengan panggilan Abang Omar.
Ciptaan terbarunya itu telah mengatasi penyertaan yang lain, termasuklah beberapa motosikal buatan khas yang amat menarik dari Beautiful Machines, The Rusty Factory, dan yang lain-lain. Kami berjaya menujukan beberapa soalan buat Abang Omar dan amat kagum dengan jumlah dan betapa telitinya kerja yang telah dilakukan dalam membina jentera yang tiada tolok tandingnya itu.
Di mana ianya menggunakan enjin satu silinder 350cc yang diasaskan daripada sebuah motosikal AJS 1967 yang lama, Eastern Bobber telah mengambil masa selama setengah tahun dan menelan belanja melebihi RM40,000 untuk bahagian-bahagiannya, pengkhususannya, serta ratusan jam masa kerja bagi mencipta mahakarya yang teramat indah ini. Abang Omar juga telah mengatakan yang masa yang telah diluangkannya di Abu Dhabi adalah inspirasi bagi keseluruhan motosikal ini.
Kami anggap yang Neil Blaber sendiri juga turut kagum dengan tahap kejuruteraan, kemahiran, kreativiti, dan ketelitian Eastern Bobber, membolehkan mereka merangkul kemenangan tipis ke atas jentera hebat ciptaan Beautiful Machines.
Pada bulan Oktober tahun hadapan, Abang Omar dan ciptaan buatan khas dari Eastern Bobber itu akan menuju ke Jerman sebagai peserta pertama dari Malaysia yang akan bertanding di ‘AMD World Championship of Custom Bike Building 2018’. Tahniah diucapkan kepada Eastern Bobber dan tidak lupa juga kepada Motonation yang telah menganjurkan pertandingan seumpama ini. Harumkanlah nama kita di Jerman, Abang Omar!
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai festival Motonation yang telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada hujung minggu yang lalu, TEKAN SINI.