Suzuki SV650X 2018 – Motosikal Cafe Racer Middleweight Yang Menggiurkan

 

  • Ketika berlangsungnya Pertunjukan EICMA 2017 di Milan baru-baru ini, Suzuki telah melancarkan satu-satunya motosikal terbaru untuk tahun hadapan iaitu motosikal cafe racer Suzuki SV650X 2018.
  • Diasaskan di atas platform SV650 yang popular, motosikal cafe racer terbaru Suzuki ini telah dilengkapi dengan rupa paras yang baru dengan kemasan cat yang cukup menawan.
  • Motosikal SV650X 2018 ini didatangkan dengan enjin V-berkembar 645cc, sejukan cecair, DOHC yang menghasilkan 75hp dan 64Nm tork maksima.

 

Dengan begitu banyak motosikal hebat yang telah dilancar serta dipertonjolkan di pertunjukan EICMA 2017 yang menakjubkan pada minggu lalu, ianya cukup mudah bagi sesiapa yang telah menghadirinya untuk berasa teruja melihat ke semua motosikal yang diperagakan dalam masa yang singkat itu. Suzuki mengambil peluang ini untuk mengikut aliran baru moden retro dengan pelancaran motosikal cafe racer Suzuki SV650X 2018 mereka.

Sudah agak lama sejak Suzuki memperkenalkan motosikal yang baru kepada orang ramai. Pada tahun yang sebelumnya kita hanya melihat pengemaskinian pada rangkaian semasa mereka. Motosikal SV650X 2018 ini bukan hanya sekadar sebuah pengemaskinian ringkas yang terbaru sahaja.


Berasaskan platform motosikal kelas pertengahan SV650 yang menjadi kegemaran ramai, motosikal cafe racer terbaru dari Suzuki ini menawarkan pandangan yang baru dan segar untuk segmen retro klasik. Keseluruhan rupa parasnya telah diubah suai dan apabila ianya digandingkan dengan enjin V-berkembar 645cc, sejukan cecair, DOHC, motosikal moden retro ini menghasilkan 75hp dan 64 Nm tork maksima.

Dengan beratnya yang berada sedikit di bawah paras 200kg, ianya lebih kepada sebuah motosikal lumba moden klasik yang sering kita lihat telah membuat kemunculan pada akhir-akhir ini, namun Suzuki berjaya mempertingkatkan daya tarikan motosikal cafe racer SV650X ini dengan antara kemasan warna yang paling menakjubkan di EICMA 2017.

Ia mungkin sekali bukannya sebuah motosikal moden retro pengeluaran berprestasi paling tinggi di arena buat masa ini tetapi apa yang kami boleh sahkan adalah rupanya sahaja sudah cukup akan membuatkannya sebagai pesaing buat pengeluar-pengeluar lain yang mempunyai jenis motosikal yang sama dalam segmen ini.

Ianya akan menjadi satu cabaran buat Suzuki namun apa yang boleh mereka lakukan untuk memaksimakan kejayaan motosikal cafe racer Suzuki SV650X 2018 mereka adalah pada harganya. Model standard SV650 semasa diletakkan pada harga kurang sedikit dari paras RM40,000, dan dengan pemintaan yang semakin meningkat bagi motosikal moden klasik di seluruh dunia, harga yang kompetitif pasti akan membuatkan motosikal cafe racer Suzuki ini laris pada tahun 2018.

 

Leave a Reply