Moto3: Jorge Martin Merangkul Kemenangan Pertamanya Di Perlumbaan Terakhir Moto3 Bagi Musim 2017

 

  • Jorge Martin (Del Consa Gresini Moto3) telah berjaya merangkul kemenangan Moto3 buat kali pertama di perlumbaan terakhir bagi musim 2017.
  • Joan Mir (Leopard Racing) telah mendapat tempat yang ke-dua walaupun dia hampir terbabas akibat ingin mengelak pertembungan dengan Gabriel Rodrigo (RBA BOE Racing Team) di awal perlumbaan.
  • Marcos Ramirez (Platinum Bay Real Estate) melengkapi podium penunggang Sepanyol dengan penamat di atas podium keduanya untuk tahun 2017.

Selepas sembilan permulaan dari petak pertama, lapan penamat di atas podium, dan tiga persaraan dari perlumbaan akibat kemalangan, kecederaan, dan kerosakan mekanikal, Jorge Martin dari pasukan Del Consa Gresini Moto3 akhirnya telah berjaya merangkul kemenangan Moto3-nya buat kali pertama. Dia telah berjaya memenangi perlumbaan ini dengan prestasi dan gaya yang unggul di hadapan penyokong halamannya di Valencia, Sepanyol.

Juara siri Red Bull Rookies 2014 berjaya mengekalkan prestasi yang teguh sepanjang minggu dan dengan permulaan perlumbaan yang hebat, Martin berjaya menjarakkan dirinya dari ke seluruhan kelompok penunggang. Pada satu ketika, dia telah mendahului perlumbaan itu dengan jarak masa sebanyak enam saat di hadapan kelompok hadapan yang lain.


Kemenangan sulung Martin dalam perlumbaan Moto3 ini telah diraikan sebaik sahaja dia tiba di parc ferme, yang mana ianya merupakan satu pencapaian yang menyentuh emosi buat penunggang berusia 19 tahun itu. Penunggang pasukan pengilang Ducati, Jorge Lorenzo, juga turut serta dalam mengucapkan tahniah kepada teman latihannya di atas pencapaiannya itu.

Kemenangan Jorge Martin itu dibantu dengan hakikat yang penunggang yang tempat ke-dua, Joan Mir (Leopard Racing) yang pada waktu itu sedang memberikan saingan yang hebat kepada Martin, terpaksa keluar dari laluan litar untuk mengelakkan pertembungan dengan Gabriel Rodrgo (RBA BOE Racing Team) yang pada masa itu berada di hadapan Mir ketika dia hilang kawalan jentera perlumbaannya.

 

Kejadian itu telah menyebabkan Mir ketinggalan jauh di belakang di kedudukan ke-19, namun Mir telah menunjukkan mengapa dia adalah Juara Dunia Moto3 2017 apabila dia berjaya memintas hampir keseluruhan kelompok penunggang dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-dua. Secara tidak langsung tunggangannya yang cemerlang itu telah menghasilkan satu rekod yang baru bagi mata terbanyak yang telah dikutip dalam sejarah siri kejohanan Moto3.

Marcos Ramirez (Platinum Bay Real Estate) telah mendapat tempat di atas podium buat kali kedua untuk tahun 2017 di atas jentera KTM. Penunggang berusia 19 tahun itu telah memberikan persembahan yang baik dalam bersaing dengan beberapa bekas juara dan pemenang perlumbaan dari siri perlumbaan dan divisyen yang berlainan. Ramirez melengkapkan podium penunggang Sepanyol di hadapan peminat Sepanyol di Valencia.

Jorge Martin dan Marcos Ramirez akan meneruskan kerjaya Moto3 mereka bagi musim 2018 bersama pasukan yang sama manakala Joan Mir akan berpindah ke Moto2 untuk berlumba bagi pasukan Moto2 Marc VDS bersama dengan Alex Marquez.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perpindahan Joan Mir ke Moto2, TEKAN SINI.

Sumber imej: MotoGP

 

Leave a Reply