- Miguel Oliveira (Red Bull KTM Ajo) telah membolot kemenangan perlumbaan ketiga buat KTM bagi musim 2017 ini dengan kemenangan terkini mereka di Valencia.
- Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) sekadar berpuas hati di tempat ke-dua selepas bergelut dengan cengkaman tayar pada penghujung perlumbaan.
- Teman sepasukan Oliveira, Brad Binder, beraksi dengan cemerlang sekali apabila dia menamatkan perlumbaannya di tempat ke-tiga setelah bergelut dengan masalah penukaran gear dalam beberapa pusingan pertama perlumbaan berkenaan.
Pasukan Red Bull KTM Ajo telah menamatkan usaha Moto2 musim 2017 mereka dengan cemerlang sekali atas jasa Miguel Oliveira yang telah menamatkan perlumbaan terakhir musim ini dengan kemenangan perlumbaan yang hebat. Bermula dari petak ke-empat, penunggang berusia 22 tahun berasal dari Portugal itu telah menganugerahkan KTM dengan tiga kemenangan perlumbaan dalam tahun pertama mereka dalam siri perlumbaan Moto2.
Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) telah menamatkan kerjaya perlumbaan dalam kelas Moto2 dengan sebuah lagi penamat di atas podium selepas pertarungan yang panjang dengan beberapa orang penunggang termasuklah dengan penunggang yang bermula dari petak pertama dan juga teman sepasukannya, Alex Marquez. Selepas permulaannya yang hebat di awal perlumbaan ini, penunggang berusia 22 tahun dari Itali dan juga Juara Dunia Moto2 2017 itu menghadapi masalah dengan cengkaman tayar pada penghujung perlumbaan berkenaan. Morbidelli sekadar berpuas hati di tempat ke-dua dalam perlumbaan Moto2 terakhirnya sebelum berpindah ke siri MotoGP bagi musim 2018.
Seorang lagi penunggang Red Bull KTM dan rookie untuk kelas Moto2, Brad Binder, berjaya mendapat tempat yang terakhir di atas podium setelah menghadapi masalah pada beberapa pusingan awal perlumbaan ini. Menurut penunggang berusia 22 tahun dari Afrika Selatan itu, dia kerap kali menghadapi masalah dalam penukaran gear dalam lapan pusingan yang pertama dalam perlumbaan berkenaan namun berjaya mengatasinya dengan cemerlang sekali di saat penghujung perlumbaan itu.
Penunggang negara, Hafizh Syahrin (Petronas Raceline Malaysia), juga turut mempamerkan aksi perlumbaan yang cemerlang di Valencia di mana dia melintasi garisan penamat di kedudukan P6. Bermula dari kedudukan P11, penunggang dari Malaysia berusia 23 tahun itu bersaing dengan penunggang-penunggang terbaik dan pada satu ketika telah berjaya menduduki P5. Secara keseluruhannya, Hafizh Syahrin telah menamatkan usaha Moto2 bagi musim 2017 ini dengan 106 mata, meletakkannya antara sepuluh penunggang dunia yang terbaik dalam kelas pertengahan.
Sumber imej: MotoGP