Triumph Tiger 1200 XC Dan XR 2018 Diperkenalkan – Motosikal Tiger Tercanggih Pada Masa Kini!

  • Triumph Motorcycles telah mencuri tumpuan ramai di pertunjukan EICMA 2017 hari ini dengan pelancaran motosikal Tiger mereka yang tercanggih pada masa ini, Triumph Tiger 1200 XR dan XR 2018.
  • Lebih daripada 100 pengemaskinian yang berbeza telah dibuat pada enjin, casis, dan ekzos motosikal Tiger 1200, dengan hasilnya adalah pengurangan berat yang ketara sebanyak 10kg.
  • Adaptive Cornering Lighting, skrin TFT berwarna penuh boleh laras, pencahayaan keseluruhan LED, enam mod tunggangan, pencahayaan belakang penukar gear, dan Triumph Assist Shift adalah sebahagian daripada pengemaskinian teknologi yang telah disertakan pada rangkaian Tiger 1200 terbaru ini.

 

Susulan selepas pelancaran rangkaian motosikal Tiger 1200 yang baru sahaja diadakan, Triumph Motorcycles sekali lagi telah mengejutkan kita dengan pengenalan kepada motosikal Tiger mereka yang tercanggih pada masa ini; Triumph Tiger 1200 XC dan Xr 2018. Pelancarannya telah diadakan bersempena dengan Pertunjukan EICMA 2017 Milan di Itali yang sedang berlangsung sekarang.

Rangkaian motosikal Tiger 1200 yang tercanggih ini kini dilengkapi dengan pelbagai pengemaskinian pada enjin, spesifikasi keseluruhan, dan pengayaan kerangka badannya menjadikannya sebuah jentera buas yang dapat menangani sebarang keadaan menunggang tidak kira di atas jalan raya berturap mahu pun tidak tanpa mengorbankan sebarang keselesaan.

Salah sebuah helah terhebat yang telah dilakukan oleh Triumph dengan motosikal Tiger 1200 terbaru ini adalah mengurangkan beratnya sebanyak 10kg. Ianya bukanlah suatu tugas yang mudah namun Triumph berjaya melakukannya dengan menerapkan 100 pengemaskinian yang berbeza pada enjin, casis dan ekzosnya. Dengan pengurangan berat yang ketara itu, motosikal Triumph Tiger 1200 2018 itu menawarkan nisbah kuasa-ke-berat yang lebih hebat disertakan dengan peningkatan tahap kelincahan dan pengendaliannya.

Menurut Paul Stroud, Ketua Pegawai Komersial untuk Triumph Motorcycles, “Rangkaian Tiger 1200 terbaru ini begitu canggih sehinggakan ia memerlukan satu tahun penuh untuk dibangunkan dan pada hari ini, kami berasa amat berbangga dapat melancarkan satu rangkaian motosikal yang secara keseluruhannya mempunyai perwatakan enjin yang termaju dalam kelasnya, inovasi teknologikal bertumpukan kepada penunggang dan penggayaan premium; semuanya demi keseronokan penunggangan kelas pertama. Motosikal-motosikal ini ternyata motosikal Tiger paling sedia-kembara yang pernah dibina.”

Bercakap mengenai kuasa kudanya pula, motosikal Tiger ini telah mengekalkan statusnya sebagai enjin dorongan engkol paling berkuasa dengan enjin tiga selari, 1,215cc yang kini menjana sehingga 138hp. Dengan ke semua bahagian yang telah dikemaskini, motosikal Tiger terbaru ini boleh mengagihkan ke semua kuasa kuda dan torknya pada jangkauan yang lebih rendah dan pada masa yang sama, menghasilkan runut bunyi yang paling menegakkan bulu roma yang telah dihasilkan oleh motosikal dwi-sukan.

Digabungkan dengan mekanisma klac bantuan tork, mengendalikan motosikal Tiger 1200 yang baru ini terasa amat lancar di jalan yang rata mahu pun sebaliknya. Jika anda mencari motosikal yang memberikan keselesaan bertaraf premium dan prestasi keseluruhan yang lebih hebat, motosikal Tiger 1200 2018 yang terbaru ini adalah pilihan yang sesuai untuk anda. Malah, pelananya juga telah dikemaskini dengan kompaun terbaru bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan motosikal ini.

Mirip dengan rangkaian motosikal Tiger 800 2018, rangkaian 1200 ini telah dilengkapi dengan pelbagai teknologi terbaru dari Triumph. Sebagai contoh, Adaptive Cornering Lighting, skrin TFT berwarna penuh boleh laras, pencahayaan keseluruhan LED, enam mod tunggangan, pencahayaan belakang penukar gear, Triumph Shift Assist, mulaan tanpa kunci, kawalan bersiar yang dikemaskini dan pelbagai lagi.

Prestasi yang baik perlulah digandingkan dengan pengayaan yang cantik. Triumph sedar akan kepentingan ini dan membekalkan motosikal Tiger 1200 terbaru ini dengan kerja badan premium, roda, lencana tangki, panel sisi, warna, dan grafik yang terbaik. Beleklah sendiri keindahannya pada gambar-gambar yang disertakan di sini.

Spesifikasi tahap tinggi yang lain termasuk Unit Ukuran Inersial (IMU – Inertial Measurement Unit), sistem pembrekan bersepadu, ABS menyelekoh, dan kawalan cengkaman, Hill Hold, sistem pendikit “Ride-by-Wire”, mod tunggangan boleh pilih, penghadang angin boleh laras secara elektronik, kelengkapan yang dihangatkan, palam punca kuasa bagi memastikan perjalanan anda seselamat dan selancar yang mungkin.

Rangkaian Tiger 1200 2018 didatangkan dengan empat pilihan berbeza; XR asas, XRx rangkaian pertengahan XRx LRH (Low Ride Height) dan yang termewah, XRT. Bagi para peminat pengembaraan, anda boleh pilih sama ada XCx atau yang termewah, XCA. Selain itu, Triumph juga menawarkan lebih daripada 50 bahagian dan aksesori yang berbeza buat para pemilik yang ingin mengkhususkan motosikal mereka itu sebaik sahaja ianya disediakan di seluruh dunia.

 

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]