Motosikal Tiga Roda Yamaha MWT-9 2018 Akhirnya Sedia Untuk Pengeluaran?

 

  • Yamaha Motor Europe telah mengeluarkan sebuah video usikan yang bertajuk “Ride the Evolution” yang mungkin sekali mengandaikan kemunculan motosikal tiga roda Yamaha MWT-9.
  • Yamaha akan memperkenalkan pelbagai motosikal baru di Pertunjukan Motor Tokyo 2017 yang akan berlangsung pada 25 Oktober 2017.
  • Khabar angin juga turut mengatakan yang akan adanya sebuah motosikal Yamaha MT-09 serba baru yang akan mendapat pelbagai pengemaskinian yang baru bagi tahun 2018.


Yamaha Motor Europe baru sahaja menayangkan sebuah video usikan pendek bertajuk “Ride the Evolution”. Walaupun video yang pendek itu tidak menunjukkan maklumat yang banyak selain daripada beberapa orang ninja melakukan aksi-aksi seorang ninja, terdapat satu petunjuk yang kuat yang menunjukkan yang ianya mungkin sekali sesuatu yang bakal menggemparkan industri permotosikalan. Apa yang kami maksudkan adalah ianya mungkin sekali sebuah motosikal buas beroda tiga, Yamaha MWT-9, yang sering dikata-katakan.

Selepas satu pertunjukan pendek memperagakan seorang hulubalang Jepun beserta dengan dua pedang Katana-nya, babak itu beralih kepada orang yang berlainan yang memegang sesuatu yang kami yakini merupakan satu lambang bagi dua pasang fork hadapan yang juga boleh membawa maksud, dua tayar hadapan.

Babak itu dengan pantas beralih ke sebuah tayangan video atas jentera yang menakjubkan sebelum menamatkannya dengan pesanan “Ride the Revolution, 25 October 2017, 5:50am CET”. Tanda masa ini menunjukkan yang Yamaha akan membuat pengenalan secara besar-besarannya di pertengahan Pertunjukan Motor Tokyo 2017.


Motosikal beroda tiga berkuasa tinggi ini telah membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2015 semasa Pertunjukan Motor Tokyo, merupakan sebuah motosikal konsep yang sebelum ini telah dinamakan LMW-MWT-9 yang telah dirancang untuk menggunakan penjana kuasa tiga silinder 847cc yang sama seperti rangkaian Yamaha MT-09 yang amat berjaya.

Apa yang kelihatan seperti sebuah motosikal Yamaha Tricity yang ‘sado’ ini sebenarnya adalah sesuatu yang lebih rumit disebabkan oleh segala kuasa, tork, dan beban yang perlu ditangani motosikal MWT-9 ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kemunculan sulung motosikal Yamaha LMW-MWT-9 ini pada tahun 2015 yang lalu, TEKAN SINI.

Satu lagi petanda yang membuktikan pengeluaran jentera Yamaha yang amat istimewa ini adalah terdapatnya beberapa buah paten yang telah muncul sejak beberapa tahun yang lalu. Ini menunjukkan bahawa Yamaha bukan sekadar membiarkannya sebagai satu lakaran tetapi telah melabur dengan banyak bagi menjadikannya sebuah jentera yang berfungsi sepenuhnya sedia untuk dihasilkan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fail yang telah dipatenkan berkenaan dengan Yamaha MWT-9, TEKAN SINI.

Selain daripada motosikal MWT-9, khabar angin juga turut mengatakan bahawa Yamaha juga akan memperkenalkan sebuah versi yang telah dikemaskini bagi rangkaian motosikal MT-09 dengan pelbagai penambahbaikan yang berbeza. Kami tidak benar-benar pasti apakah perubahan yang akan dibuat namun berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh pesaing masa kininya serta pesaingnya yang akan datang, Yamaha perlu melengkapkan sesuatu yang mengagumkan pada motosikal Yamaha MT-09 2018 yang baru ini bagi menjadikannya antara motosikal naked berprestasi tinggi paling menggiurkan yang ada di pasaran.

Selain daripada ke semua berita yang mengujakan ini, apa yang boleh kita lakukan hanyalah menghitung hari dan menunggu selama satu minggu lagi sebelum ianya disahkan. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk segenap perkembangan terkini dunia permotoran.

 

Leave a Reply