Kunjungi Art of Speed Malaysia 2017 & MENANGI MOTOSIKAL BUATAN KHAS YAMAHA RXZ TWINBOSS DRAGSTER INI!

 

  • Acara Art of Speed Malaysia 2017 akan menghadiahkan satu hadiah utama yang cukup istimewa pada hari Ahad ini dalam bentuk sebuah motosikal dragster Yamaha RXZ Twinboss.
  • Motosikal dragster RXZ Twinboss ini dijana oleh dua enjin dua lejang yang bekerja seiring dengan gabungan kapasiti sehingga 270cc yang bersamaan dengan sebuah motosikal lumba empat lejang middleweight dari segi kapasiti.
  • Acara Art of Speed tahun ini akan diadakan dari 29 hingga 30 Julai 2017 di MAEPS Serdang jadi pastikan anda berada di sana sewaktu mereka
    mengumumkan siapakah pengunjung yang bertuah yang boleh membawa pulang si buas ini!


Sebagai rakyat Malaysia yang cukup sebati dalam dunia dan industri permotosikalan, tidak dapat dinafikan hakikat yang motosikal dua lejang memainkan peranan yang penting dalam pembangunan kancah permotosikalan sejak bertahun lamanya. Sedang motosikal-motosikal lain juga turut memainkan peranan mereka tersendiri, jentera dua lejang telah pun berada di arena ini lebih lama dari yang lain dan mencipta reputasinya, sama ada yang baik mahu pun buruk.

Mengenepikan perkara itu buat masa ini, salah satu motosikal yang cukup terkenal sepanjang zaman di medan negara kita ini sudah semestinya motosikal Yamaha RXZ. Sejak kemunculan motosikal ini, ia telah menambat hati pemuda serta pemudi negara. Kini, sekumpulan bijak pandai yang gila-gila telah membawa motosikal legenda ini ke satu tahap yang baru. Bersedialah, kerana ia akan menjadi lebih menark. SANGAT-SANGAT MENARIK.

Bagi acara Art of Speed 2017, pengasasnya, Encik Asep Ahmad Sastrawidjaja telah mengumumkan bahawa mereka akan menghadiahkan sebuah motosikal yang cukup istimewa sebagai hadiah utama untuk tahun ini. Untuk tahun ini, seorang pengunjung bertuah akan membawa pulang sebuah motosikal dragster dua lejang dwi-enjin buatan khas yang dinamakan “Yamaha RXZ Twinboss”.

Idea ini timbul dari minda Encik Asep yang ingin mencuba sesuatu yang baru dengan harapan yang ianya akan menimbulkan keterujaan dalam medan buatan khas Malaysia dan juga pada industri permotosikalan secara amnya. Menurut pengurus projek itu, idea ini timbul pada awal tahun ini dan menjelang bulan April, mereka telah berjaya mendapatkan ke semua bahagian asasnya termasuklah dua motosikal Yamaha RXZ khas untuk motosikal dragster ini.

Encik Asep mengatakan bahawa motosikal buatan khas sepenuhnya ini atau lebih dikenali “RXZ Twinboss”, akan menjadi hadiah cabutan utama sebagai satu tanda penghargaan hebat untuk sokongan yang hebat sejak bertahun lamanya dari para peminat serta penggemar. Seperti apa yang anda dapat lihat, setiap satu bahagian motosikal dragster ini telah dibikin semula dari mula dan ianya tampak begitu indah dan mengancam.

Jurutera utama untuk RXZ Twinboss ini merupakan seorang anak tempatan kita iaitu Irwan Cheng dari FNG Work yang terletak di Ipoh bersama dengan para pekerja dari Beautiful Machines, Sunway. Mereka juga telah mendapat banyak bantuan daripada Amir Hashim, yang merupakan orang kuat Legend Racing Garage yang membantu melengkapkan motosikal ini.

Dari segi kosnya, Encik Asep menyatakan yang dia telah berhenti mengiranya setelah membelanjakan jumlah melebihi RM40,000 dalam menyediakan motosikal ini untuk acara utama Art of Speed tahun ini. Bersama dengan segala bantuan, pertolongan, kemahiran, serta pengetahuan yang tidak ternilai, motosikal RXZ Twinboss ini tidak ternilai harganya, bak berlian yang amat jarang dijumpai. Hanya satu dalam berjuta.

Gabungan dua enjin Yamaha RXZ 135cc dua lejang yang dapat berfungsi seiringan disebabkan oleh pencapaian kejuruteraan yang dijayakan dengan menyambung pacuan utamanya menggunakan aturcara pacuan rantai terakhir yang menghubungkan kedua-dua blok enjin itu bersama. Dari segi kapasiti, motosikal ini secara bersama mempunyai 270cc yang mana ianya hampir sama dengan sebuah motosikal lumba empat lejang middleweight.

Dapra, tangki bahanapi, serta pelananya yang lain dari yang lain itu telah ditukang tangan menggunakan aluminium diilhamkan untuk mencapai dua objektif, untuk kelihatan dan mampu bergerak sepantas yang ia dapat pergi, bertepatan dengan nalurinya sebagai sebuah motosikal dragster. Kami juga ingin menerangkan yang keseluruhan badannya itu dapat diangkat bagi memudahkan capaian ke enjinnya seperti mana yang anda selalu lihat pada kereta dragster di Amerika Syarikat.

Bahagian-bahagian lain diperbuat menggunakan bagas jet air CNC dan perisian komputer Catia untuk ketepatan maksimum, keteguhan, dan prestasi. Lubang-lubang yang anda lihat di gambar dibuat dengan jitu menggunakan teknologi kejuruteraan terkini yang memastikan prestasi tercanggih dalam binaan ini.

Sebuah motosikal yang hebat perlukan tayar yang hebat jua dan jika anda lihat pada bahagian belakangnya, anda dapati yang ianya dilengkapkan dengan tayar ‘super slick‘ Pirelli Diablo Supercorsa bagi memberikan cengkaman maksimum ketika anda memecut di litar drag. Fork hadapannya telah diambil dari salah satu motosikal Yamaha RXZ berkenaan namun ianya telah dipotong dan dikhususkan untuk projek ini.

Pengunjung yang bertuah yang dapat membawa pulang motosikal ini akan mendapat sebuah kunci yang bukannya untuk menghidupkan enjin motosikal ini tetapi ianya untuk capaian penutup gas bahanapi yang diambil dari sebuah motorbot.

Secara amnya, motosikal RXZ Twinboss ini hampir sudah siap dari segi aspek mekanikal. Rupa paras yang lain serta kerja mengecatnya akan disiapkan semasa acara dua hari Ary of Speed 2017 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 29 dan 30 Julai 2017.

Dua motosikal akan dihadiahkan semasa hujung minggu itu dan motosikal RXZ Twinboss ini akan menjadi hadiah utama pada hari Ahad. Setiap pengunjung yang membeli satu tiket yang hanya berharga RM15 akan mendapat satu penyertaan dalam cabutan bertuah jadi lebih banyak tiket yang anda beli, lebih besar peluang anda dapat untuk memenangi motosikal ini. Nasihat kami, ulangkaji tentang acara tahunan ini secara bersungguh-sungguh kerana mungkin ada beberapa soalan yang akan ditanya untuk menjadikan cabutan ini lebih menarik. Secara mudah, anda perlu berusaha untuk mendapatkan si buas yang mengancam ini.

Ke semua yang terlibat dalam pembikinan motosikal RXZ Twinboss ini hanya mengharapkan satu perkara; yang pemenangnya akan menguji motosikal dragster ini semahunya kerana ianya dibina untuk dilumba dan bukan hanya untuk dipamerkan. Kebanyakan daripada kami telah berada di sana di saat motosikal ini dihidupkan dan hanya satu perkara sahaja yang dapat kami katakan, kami amat-amat TERUJA.

https://www.instagram.com/p/BW2n-fQALnx/

Kepada mereka yang berminat untuk melihat secara langsung dan bersemuka, kunjungilah festival Art of Speed 2017 pada 29 dan 30 Julai 2017 ini di MAEPS, Serdang. Tahun ini merupakan tahun yang terbaik bagi anda yang ingin mula berjinak-jinak dengan perhimpunan ‘segalanya’ khusus terbesar di Malaysia yang telah mendapat tumpuan ramai serta sokongan dari seluruh dunia. Jumpa anda di sana!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai festival Art of Speed 2017, TEKAN SINI.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]