Kilang Harley-Davidson Terbaru Akan Dibina Di Thailand

  • Rancangan untuk pembinaan kilang terbaru Harley-Davidson di Thailand telah pun muncul dengan operasi dijangka bermula lewat 2018.
  • Berita ini menimbulkan kemarahan di Amerika Syarikat dengan tuduhan dari persatuan pekerja Amerika menyatakan yang pengeluar ini mengurangkan pengambilan pekerja di US dan menggunakan tenaga kerja luar.
  • Kilang baru ini dikatakan untuk membantu mengurangkan kadar tariff yang tinggi untuk motosikal import di Asia.

Pengeluar motosikal ikonik Amerika, Harley Davidson, telah memutuskan untuk membina sebuah kilang baru di negara Thailand. Kilang ini dikatakan akan memulakan operasinya pada lewat tahun 2018. Walaupun ino bermakna kilang ini akan mencipta peluang pekerjaan bagi penduduk Thailand, idea ini menimbulkan kemarahan di Amerika Syarikat.

Baru-baru ini kita telah mendapat berita yang kilang mereka di Milwaukee telah pun ditutup kerana kekangan kewangan. Kini, dengan berita mengenai kilang baru di Thailand sedang dibina, kesatuan yang mewakili pekerja Amerika telah menuduh Harley-Davidson mengurangkan pengambilan pekerja tempatan dan menggunakan tenaga kerja luar.

Menurut Marc D McAllister, Pengarah Urusan Jualan Antarabangsa dari Harley-Davidson Singapura mengatakan bahawa “Ianya bukanlah berkaitan dengan mengurangkan pekerjaan di Amerika Syarikat. Ianya adalah berkaitan dengan pengembangan perusahaan kami di Asia.” Harley-Davidson menyatakan bahawa motosikal yang akan dibina di kilang baru ini yang belum lagi diketahui semua orang akan dijual di pasaran Asia dan bukannya untuk pasaran Amerika Syarikat.

Sebab ini masih tidak memadai bagi para pekerja di Amerika Syarikat terutamanya bagi Leo W Gerard, Presiden Antarabangsa bagi United Steelworkers yang mewakili pekerja Harley-Davidson di Wisconsin dan Missouri. Dia dengan jelas bertanya mengapakah motosikal ini tidak dibina di Amerika Syarikat dan dieksport keluar negara.

“Ianya satu tamparan bagi pekerja Amerika Syarikat yang telah membina ikon Amerika ini,” ujar Robert Martinez Jr, Presiden Antarabangsa bagi International Association of Machinist and Aerospace Workers. Kenyataan ini dikeluarkan berkaitan dengan penutupan kilang Harley-Davidson di Pennsylvania yang mengakibatkan 100 orang pekerja kehilangan mata pencarian.

Penjelasan selanjutnya mendedahkan yang sekatan dagangan yang tinggi dalam pasaran tumbesaran tinggi adalah penyebab utama kepada kewujudan kilang baru di Thailand. Jika ianya dibuat di Amerika Syarikat dan dieksport ke negara-negara Asia ini, harganya akan menjadi terlalu mahal.

Ini bukanlah kali pertama kilang Harley-Davidson dibangunkan di luar negara. Mereka telah pun membuka sebuah kilang di India pada 2011 sebagai penyelesaian bagi kadar tariff 100% untuk motosikal import. Kilang di Thailand ini akan membantu dalam pembinaan motosikal bagi pasaran Asia terutamanya di China dan pada masa yang sama menangani kadar tariff 60% untuk motosikal import di Thailand.

Sama ada kilang ini akan mendatangkan kebaikan atau mengeruhkan lagi keadaan masih lagi tidak dapat ditentukan. Walaupun kebanyakan pekerja di Amerika Syarikat menentang tindakan ini, Harley-Davidson telah pun membuat segala tindakan yang perlu bagi memastikan jenama ini tetap kukuh. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk segenap berita dunia permotoran.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply