Honda CBR1000RR Fireblade Terbaru Sudah Berada Di Malaysia? Dari RM144,000

 

 

  • Beberapa keping gambar yang telah dimuatnaik ke laman sesawang Facebook oleh SuperBikers Malaysia mempamerkan beberapa buah Honda CBR1000RR Fireblade terbaru yang kini sudah tiba di tanah air kita.
  • Dalam pos berkenaan, jentera-jentera buas itu yang dibawa masuk oleh mereka yang bertanggungjawab di MSCPJ dan ianya tersedia untuk jualan bagi para pembeli dan juga penggemar Honda.
  • Motosikal Fireblade standard ini telah ditetapkan harganya pada RM144,054 sementara model SP1 pula dinilai pada RM169,494(harga asas beserta GST).


Hanya beberapa jam yang lalu, komuniti permotosikalan Malaysia telah menerima sebuah kejutan yang menggembirakan apabila orang ramai mula berkongsi maklumat tentang sebuah motosikal Honda yang baru sahaja tiba di tanah air kita. Merujuk kepada gambar-gambar di laman sesawang Facebook yang dimuatnaik oleh SuperBikers Malaysia, ianya dinyatakan bahawa motosikal Honda CBR1000RR Fireblade terbaru (model Standard dan juga SP1) telah di import masuk oleh MSCPJ dan kini sedia untuk dijual. Dilihat daripada gambar-gambar berkenaan, jentera-jentera buas ini tampak gah sekali.

Dalam pos itu sendiri, ianya telah dinyatakan bahawa motosikal-motosikal Fireblade berkenaan adalah motosikal berspesifikasi Eropah dan juga serba baru. Motosikal spesifikasi Eropah ini didatangkan dengan ‘immobiliser‘ dan juga ‘chipped in keys‘ bagi menjaminkan tahap keselamatan yang lebih tinggi. Dengan kosnya yang melebihi RM100,000 itu, sudah pasti anda inginkan segala bantuan yang anda perlukan bagi memastikan motosikal ini selamat.

Bagi mereka yang sedang mencari jentera 1000cc yang muktamad, kehadiran motosikal ini telah menambahkan pilihan yang sedia ada dalam pencarian mereka untuk sebuah jentera 1000cc yang terbaik. Honda Fireblade terbaru ini dilengkapi dengan enjin empat-sejajar, DOHC, 16-injap, empat lejang, sejukan cecair, 999cc yang menghasilkan hampir 190hp pada 13,000rpm dan 116Nm tork pada tahap 11,000rpm.


Dengan beratnya hanya pada 195kg, nisbah kuasa-ke-beratnya cukup menakjubkan. Dan bagi menambahkan lagi faktor keseronokannya, motosikal-motosikal ini dilengkapkan dengan transmisi enam kelajuan Honda dan tersedia dengan quickshifter.

Terdapat juga sebuah paparan LCD berwarna penuh TFT yang menjadikan bacaan maklumat papan pemuka satu pengalaman yang mengujakan. Mereka yang bertanggungjawab di MSCPJ juga telah menetapkan harga bagi kedua-dua varian yang dibawa masuk ini, iaitu model Standard dan juga SP1. Motosikal Honda CBR1000RR Fireblade (Standard) ditetapkan pada harga RM144,054 manakala untuk SP1 pula ditetapkan pada harga RM169,494 (harga asas beserta GST).

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang motosikal ini, anda boleh melihat pos asalnya DISINI.

Leave a Reply