TVS Lancar Apache RTR 310 Di Thailand – Dengan Cruise Control, Mod Supermoto

TVS Motor Company dengan rasminya memperkenalkan Apache RTR 310 dalam satu pelancaran global yang diadakan di Bangkok, Thailand. 

Akan turut dipasarkan di Malaysia dibawah pengedar baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi, TVS Apache RTR 310 merupakan motosikal berteknologi tinggi yang dibangunkan daripada platform satu silinder 310cc yang turut diguna pakai Apache RR 310. Enjin ini juga diguna pakai BMW pada G 310 GS, G 310 R dan G 310 RR. 

Hasilnya, enjin satu silinder 312.2cc itu menawarkan 35hp dan 28.7Nm. 

Bagaimanapun, daya tarikan utama Apache RTR 310 tertumpu pada ciri elektronik yang ditawarkan yang merangkumi 5 Mod menunggang (termasuk mod Supermoto), lampu depan LED Dynamic, lampu belakang Dynamic LED dan Tyre Pressue Monitoring System (TPMS).

Menariknya, TVS Apache RTR 310 ini juga merupakan motosikal pertama dalam segmennya yang hadir dengan fungsi ‘cruise control’ sekaligus membantu mengurangkan rasa penat sewaktu tunggangan jauh. 

Aspek keselamatan juga hadir menerusi Race Tuned Linear Stability Control, ABS dwi-saluran dan Linear Traction Control. 

Gaya ‘streetfighter’ juga menonjol dengan reka bentuk bersegi dan agresif dipadankan bersama rim 8-bilah dua tona. Menurut TVS, ergonomik RTR 310 ini memfokuskan kawalan dan tunggangan selesa. 

Peminat di Malaysia juga akan menghargai pilihan warna ditawarkan TVS, apabila Apache RTR 310 hadir dengan warna Sepang Blue Race Graphic yang diilhamkan daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC). 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]