Prototaip KTM RC 390 2024 Tampil Berbeza

KTM antara pengeluar yang giat menguji beberapa jentera baharu yang akan dipasarkan dalam tempoh setahun dua ini. 

Sebelum ini, pengeluar motosikal Austria itu dilihat menguji beberapa jentera prototaip antaranya RC 990 dan 990 Duke. 

Tidak cukup dengan itu, KTM juga didapati sedang giat menguji jentera berkapasiti kecil di India yang didakwa sebagai RC 390 generasi terbaru. 

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ dikongsikan, ternyata RC 390 akan datang itu tampil dengan rekaan serba baharu berbeza dengan generasi sedia ada. 

Bermula di bahagian depan, penggunaan lampu berbentuk bujur telah digantikan dengan lampu jensi projektor tunggal sementara panel depan juga lebih melengkung berbanding bersegi. 

Fender, tangki, panel sisi juga berbeza dan tampak lebih tajam berbanding model sedia ada. Bahagian lampu belakang juga kini ditempatkan pada fender dan tidak lagi di bahagian ekor seperti model sedia ada. Konsep sama itu turut diguna pakai BMW pada S 1000 RR. 

Turut kelihatan kerangka trellis baharu yang melangkui sproket depan berbanding sebelum ini dan dipadankan bersama subframe berlainan. Kedudukan monoshock juga berbeza namun masih lagi dibekalkan WP. 

Susun atur enjin juga kelihatan berbeza, dengan ‘header’ baharu, ekzos ‘underbelly’ yang berlainan dan ‘catalytic converter’ baharu. Kelainan ini dilaksanakan bagi mencapai standard Euro 5 terkini. 

Namun sejauh mana perubahan itu akan memberi kesan pada kuasa 43hp dan 36Nm sedia ada hanya akan diketahui pada hari pelancaran nanti yang dijangka berlaku pada 2024.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]