Panggilan Semula Bagi Honda CB250R, Yamaha YZF-R25 Dan MT-25 – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan ‘product recall’ (panggilan semula) beberapa motosikal 250cc. 

Berdasarkan perkongsian terbaru di media sosial, JPJ mengeluarkan ‘product recall’ bagi motosikal jenis Yamaha YZF-R25, MT-25 dan Honda CB250R. 

Notis panggilan semula bagi dua model Yamaha itu telah pun dikeluarkan pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada bulan Mei lalu namun disebabkan terdapat kesukaran menghubungi pemilik – susulan maklumat tidak dikemas kini – memaksa JPJ mengeluarkan notis siri kedua. 

Notis siri kedua ini juga menyaksikan, Boon Siew Honda (BSH) mengeluarkan notis ‘product recall’ babitkan Honda CBF250NAP. Nama model tersebut merujuk kepada CB250R.

Menurut Boon Siew Honda, panggilan semula ini bagi menggantikan penutup ‘crankcase’ sebelah kanan disebabkan kerosakan ‘cone plug’ yang boleh menyebabkan kebocoran. Panggilan semula ini babitkan CB250R yang dihasilkan antara 22 Julai 2022 hingga 3 Ogos 2022 dengan nombor casis dari MLHMC5293P5100007 hingga MLHMC5295P5100008.

Pemilik yang terkesan diminta menghubungi pusat servis rasmi untuk tujuan penggantian yang akan ditanggung sepenuhnya Boon Siew Honda.

Dalam pada itu, JPJ juga menggesa pemilik untuk lebih bertanggungjawab dengan mengemas kini maklumat maklumat peribadi di pusat servis rasmi sekiranya motosikal telah bertukar hak milik. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]