Kawasaki Ninja ZX-6R ‘Lahir Semula’ Bagi 2024 – Enjin Euro 5, 128HP

Ketika Yamaha telah mematikan pengeluaran YZF-R6 ekoran peraturan emisi yang ketat diekori Honda yang tidak menaik taraf CBR600RR bagi mencapai standard Euro 5, lain pula ceritanya di kem Kawasaki. 

Ini kerana pengeluar motosikal dari Jepun itu tidak takut untuk mengemas kini jentera ‘supersport’ popular, Ninja ZX-6R agar model ikonik itu terus relevan untuk tahun akan datang. 

Bagi tahun 2024, Kawasaki melahirkan semula Ninja ZX-6R dengan kemas kini drastik, terutamanya memastikan enjin 4-inline 636cc 4-stroke, DOHC, 16-valve dengan sisstem penyejukan cecair itu mencapai status Euro 5. 

Naik taraf itu secara tidak langsung meletakkan ZX-6R sebagai jentera yang lebih efisien berbanding R6 dan CBR600RR ekoran menjalani ujian yang lebih ketat bagi mencapai peraturan emisi di Eropah. 

Meskipun begitu, Kawasaki berjaya memastikan Ninja ZX-6R kekal sebagai jentera ‘supersport’ berkuasa dengan 128hp. Angka kuasa tersebut berjaya dicapai dengan mengemas kini profil cam, corong udara, dan menaik taraf sistem ekzos. Menurut Kawasaki, sistem ekzos terbaru itu menjanjikan prestasi optimum pada RPM tinggi dan rendah. 

Selain itu, Kawasaki turut melengkapkan Ninja ZX-6R 2024 ini dengan pelbagai ciri moden termasuk fork Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston), quickshifter, serta sistem traction control tiga-mod. 

Segala tetapan tersebut boleh dilakukan menerusi panel meter TFT 4.3-inci yang boleh disambung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology. 

Tidak cukup dengan itu, Kawasaki turut menaik taraf panel badan ZX-6R 2024 ini yang diinspirasikan daripada jentera ZX-10R. Menurut Kawasaki, Ninja ZX-6R generasi terbaru ini akan mula dipasarkan di seluruh dunia bermula Oktober tahun ini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]