PDRM Nafi Dakwaan Caprice Sifatkan Motosikal ‘Kayangan’ Selamat Dari Tindakan

Baru-baru ini tular di media sosial apabila selebriti tempatan, Caprice seakan mendakwa pihak berkuasa hanya mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya menggunakan kapcai. 

Caprice dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat lalu berkata; “Siapa suruh hang naik motosikal kapcai harga RM7,000. Cuba bawa Ducati yang berharga RM200,000. Ini budak Ducati tak ada pergi mahkamah atau kena kutip sedangkan video dah jelas. Ingat lain kali kalau nak buat jenayah cuba bawa Ducati,” jelasnya. 

Bagaimanapun, dalam satu hantaran terbaru, Caprice juga telah memohon maaf kepada pemilik motosikal Ducati berkenaan dengan kenyataannya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim menyangkal dakwaan awal yang menyifatkan pihak berkuasa berat sebelah dalam mengambil tindakan. 

“Tidak kira menunggang motosikal kapcai atau Ducati, mereka yang terlibat akan diambil tindakan di bawah peruntuk undang-undang ditetapkan.

“Untuk makluman, dua kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor berkait kejadian berasingan yang melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi ini,” jelasnya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Ducati Malaysia telah mengadakan acara ‘We Ride As One’ pada Sabtu yang merupakan acara meraikan pemilik Ducati di dunia.

Acara tersebut menyaksikan ratusan pemilik Ducati sambil diiringi pihak polis telah berkonvoi ke Kuala Lumpur untuk sesi bergambar. Menariknya, ketika berkumpul, pihak polis turut melakukan formaliti dengan memeriksa lesen penunggang masing-masing sebelum konvoi berlepas bagi memastikan acara berlangsung dengan lancar.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]