Baling Objek Ke Kereta Di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, 4 Remaja Dicekup

Polis telah menahan empat remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian baling objek keras ke arah kereta yang bergerak di KM53, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, pada Selasa. 

Memetik laporan Berita Harian, keempat-empat suspek itu berusia antara 15 hingga 17 tahun. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Rahimi Zainol, suspek menaiki motosikal lalu membaling objek keras kepada kereta yang datang dari arah bertentangan. 

Polis bertindak selepas menerima laporan daripada mangsa yang menggunakan laluan tersebut daripada Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Kangsar. 

Difahamkan, polis telah menerima tiga lagi laporan yang menceritakan perihal sama.

“Hasil maklumat yang diperolehi, polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat remaja lelaki itu,” jelas Mohd Rahimi, pada Selasa. – Berita Harian

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]