Pelumba Ducati Francesco Bagnaia, meneruskan kecemerlangan merangkul kejuaraan dunia musim lalu dengan memenangi aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 di Portimao, Portugal, hari ini.
Bagnaia mengutip 25 mata penuh selepas berjaya mengatasi beberapa asakan pelumba lain. Susulan daripada kejayaan memenangi perlumbaan Sprint pada Sabtu, Bagnaia kini mengutip 37 mata keseluruhan.
Sementara itu, pelumba factory Aprilia Maverick Vinales, menamatkan saingan di tempat kedua diikuti Marco Bezzecchi ketiga.
Perlumbaan bermula sengit sebaik dilepaskan yang menyaksikan pelumba satelit Aprilia, Miguel Oliveira, berada didepan untuk seketika sebelum bingkas dipintas Bagnaia.
Beraksi di laman sendiri ternyata memberi semangat pada Oliveira untuk menghadirkan keputusan baik pada pusingan pertama. Bagaimanapun, mimpi ngeri melanda pelumba CryptoData RNF Aprilia itu apabila dilanggar Marc Marquez di Turn 3 sekaligus menyaksikan kedua-dua pelumba bersara awal.
Maklumat awal daripada RNF Racing mengesahkan Oliveira mengalami bengkak di bahagian atas kaki kanan sementara pemeriksaan x-ray juga mendapati tiada tulang yang patah.
Dalam pada itu, pencabar kejuaraan musim lalu, Fabio Quartararo hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10. Dia juga tampak kecewa ketika pulang ke pit.
Aleix Espargaro juga gagal menyembunyikan kekecewaan apabila hanya menduduki tempat ke-7.
Pusingan kedua MotoGP musim 2023 akan berlangsung di Argentina pada April.