Ducati Lakar Sejarah, Raih Pendapatan Lebih EUR1 Bilion

Jenama motosikal premium Itali, Ducati melakar rekod baharu dalam sejarah syarikat itu apabila pertama kalinya merekodkan pendapatan lebih EUR1 bilion pada 2022, sekaligus menandakan peningkatan 24 peratus berbanding EUR878 juta pada tahun sebelumnya. 

Tidak cukup dengan itu, Ducati juga merekodkan keuntungan operasi yang tinggi dengan EUR109 juta, berbanding EUR61 juta pada 2021 sekaligus menyaksikan kenaikan sekitar 77 peratus.

Sementara itu, kejayaan tersebut dicapai setelah terdapat peningkatan mendadak terhadap jenama motosikal itu kebelakangan ini. Tahun lalu, sebanyak 61,562 unit motosikal dijual serata dunia, naik 3.6 peratus berbanding 2021.

“Buat pertama kali dalam sejarah, kami melepasi 60,000 motosikal dan pendapatan kami melepasi satu bilion euro.

“Ini menjadikan 2022 sebagai tahun terbaik buat Ducati dalam beberapa aspek, bermula daripada prestasi jualan dan kewangan yang hebat sehinggalah kejayaan dalam MotoGP dan WorldSBK,” ujar CEO Ducati, Claudio Domenicali. 

Dalam pada itu, Ducati dijangka meneruskan momentum semasa menerusi beberapa model baharu yang ketika ini mencapai permintaan tinggi antaranya Ducati Multistrada V4 dan DesertX.

Setakat penghujung tahun lalu, Ducati mempunyai 821 rangkaian pengedar seluruh dunia. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]