Jalan Batang Kali-Genting Akan Dibuka Untuk Motosikal

Penunggang motosikal dijangka akan dibenarkan menggunakan Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor dalam tempoh seminggu lagi.

Perkara itu disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut memaklumkan pemantauan rapi akan dibuat terlebih dahulu bagi memastikan laluan terbabit benar-benar selamat untuk penunggang motosikal.

Memetik laporan Berita Harian, pertimbangan pembukaan laluan itu kepada kenderaan dua roda dibuat setelah mengambil kira laluan alternatif memakan masa lebih lama bagi mereka yang ulang-alik ke tempat kerja.

“Kita mendapat permintaan supaya laluan berkenaan dibuka kerana walaupun terdapat laluan alternatif, ia jauh dan mengambil masa.

“Setiap permohonan kita akan pertimbangkan dan kita jangkakan dalam tempoh seminggu lagi laluan berkenaan akan dibuka kepada pengguna motosikal sahaja,” jelasnya. 

Sebelum ini, kerajaan telah pun mengumumkan bahawa laluan tersebut akan ditutup selama setahun.

Dalam pada itu, tragedi tanah runtuh di laluan Jalan Batang Kali-Genting itu menggemparkan seluruh negara apabila seramai 30 orang disahkan meninggal dunia dengan seorang lagi mangsa masih belum ditemui manakal 61 lagi disahkan selamat. – Berita Harian

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]