Enjin Parallel-Twin 776cc Revolusi Baharu Suzuki

Umum mengetahui baru-baru ini Suzuki telah pun memperkenalkan dua model serba baharu sewaktu pameran motosikal EICMA di Milan. 

Suzuki GSX-8S dan 800DE merupakan dua model baharu yang bakal tiba tahun depan dengan kedua-duanya digerakkan platform parallel-twin 776cc serba baharu dibangunkan Suzuki. 

Enjin tersebut memuatkan unit 776cc dengan penyejukkan cecair dan turut datang dengan konfigurasi ‘270-degree crank’ sekaligus menghasilkan bunyi seakan V-Twin yang ikonik pada jentera Suzuki. 

Selain itu dengan bore 84mm dan stroke 70mm serta nisbah mampatan 12.8:1 memberi bayangan bahawa enjin tersebut menawarkan prestasi dan tahap praktikal yang baik. 

Pada masa sama, Suzuki juga menyuntik tahap kejuruteraan tertinggi pada enjin tersebut antaranya kotak udara berkapasiti 6L yang menyumbang kepada penghasilan tork yang baik manakala sistem Cross Balancer pula memastikan gegaran enjin kurang dirasai sekaligus menghasilkan tunggangan yang lebih lancar.

Tidak cukup dengan itu, Suzuki juga memastikan operasi enjin kekal lancar dan efisien dengan menyalut dinding silinder dengan proses Composite Electrochemical Material (SCEM). 

Salutan itu memastikan tahap geseran piston berada di tahap rendah sekaligus mengurangkan risiko kerosakan pada ‘piston ring’ di samping meningkatkan pelepasan haba. 

Bahagian penyejukan enjin pula dikawal dengan sistem Inlet Control Thermostat Valve yang dibangunkan Suzuki sendiri. Sistem tersebut bukan hanya mengurus beban haba pada enjin malah turut menstabilkan pembakaran dan mengurangkan emisi. 

Mengambil kira semua faktor di atas secara tidak langsung membuatkan kami teruja untuk merasai sendiri kemampuan Suzuki GSX-8S dan 800DE tahun depan. 

Diharapkan dengan suntikan enjin baharu dan kelengkapan baharu, kedua-dua model serba baharu itu akan terus memperkembangkan jenama Suzuki di pasaran global. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]