Paten Nama Terbaru Sahkan Ketibaan Yamaha R9

Nama Yamaha R9 timbul lebih setahun yang lalu apabila pengeluar motosikal Jepun itu memfailkan tanda dagangan YZF-R9 dan R9 bagi kegunaan pada masa depan.

Namun sejurus selepas itu tiada perkembangan terbaru yang timbul sehiggalah ke hari ini.

Bagaimanapun, berita terbaru  mengesahkan Yamaha R9 semakin hampir untuk direalisasikan apabila Yamaha mempatenkan nama YZF-R9 bagi logo model akan datang itu di Australia.  

Ketika tanda dagangan yang difailkan dahulu adalah bagi penggunaan nama YZF-R9 namun paten yang difailkan kali ini adalah bagi melindungi lencana model itu yang akan diguna pakai pada model fizikal tidak lama lagi.

Dokumen yang difailkan itu turut memaparkan logo terbabit yang jelas mengikut logo yang sama digunakan bagi Yamaha R25, R7 dan R1 ketika ini.

Seperti laporan sebelum ini, Yamaha R9 dijangka akan dihidupkan enjin CP3 890cc baharu yang terdapat pada Yamaha MT-09 dan Tracer 9 GT. Langkah sama juga telah diterapkan pada Yamaha R7 yang dikuasakan enjin CP2 689cc yang sama terdapat pada MT-07. 

Ini bermakna Yamaha R9 akan datang itu akan menawarkan 117.3hp dan 93Nm dan secara tidak langsung meletakkan R9 setaraf kuasa yang dihasilkan Yamaha R6 yang telah dihentikan pengeluaran.

Persoalannya bilakah Yamaha akan mendedahkan R9 kepada umum? Kami jangkakan jawapan itu akan diketahui tidak lama lagi. 

Apa yang pasti, kami akan terus bawakan perkembangan menarik ini.  

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]