Hong Leong Yamaha Motor telah mengemas kini motosikal ‘supermoped’ Y16ZR dengan tiga pilihan warna baharu.
Bagi tahun 2022, Y16ZR datang dengan warna Glacier White, Phantom Neon dan Flaming Silver.
Menurut HLYM, selain pilihan warna baharu, harga bagi model tersebut juga naik kepada RM11,118 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) berbanding RM10,888 sebelum ini.
Kenaikan harga tersebut sudah dijangka ekoran pasaran motosikal dunia sedang terkesan dengan pelbagai faktor antaranya masalah logisitk, masalah cip dan semikonduktor serta tukaran mata wang ringgit yang lemah ketika ini.
Untuk rekod, Yamaha Y16ZR masih lagi digerakkan dengan enjin 155cc SOHC sama yang memacu R15 dan MT-15 yang menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm pada 8,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan (dengan bantuan klac assist/slipper).
Mengikut acuan model terkini Yamaha, Y16ZR ini juga dilengkapi paparan LCD yang menawarkan informasi kelajuan, RPM dan ‘gear indicator’ manakala bahagian ‘handle’ kanan diletakkan butang ‘kill switch’.