Litar Lumba ‘Drag’ Tak Akan Hentikan Lumba Haram – Bekas Ketua Polis KL

Bekas ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akhbar Khan, tidak setuju dengan cadangan membina litar perlumbaan ‘drag’ sebagai usaha menangani gelaja lumba haram.

Sebaliknya, beliau berpendapat langkah itu boleh memakan diri.

Walaupun beliau sendiri pernah mengemukakan cadangan seperti itu pada era 80an namun Dell Akhbar Khan berpendapat pelan itu tidak dapat menyelesaikan budaya mat rempit di negara ini.

“Apabila saya mencadangkan agar mat rempit dibenarkan untuk berlumba di litar yang betul pada tahun 1980an, idea tersebut adalah bagi memastikan aktiviti tersebut dapat berlangsung dengan selamat.

“Walau bagaimana pun, selepas berlumba (di litar yang disediakan), mereka (mat rempit) boleh pula sambung berlumba secara haram di jalanan pula. 

“Kita sangkakan dengan membenarkan mereka berluma di litar yang disediakan, masalah ini (lumba haram) dapat diselesaikan, tetapi rupanya ia tidak membuatkan mereka berhenti untuk berlumba pula di jalanan,” jelasnya.

Sebaliknya, Dell mengesa kerajaan pertimbang melakukan kajian yang lebih terperinci terlebih dahulu sebelum meneruskan cadangan pembinaan litar terbabit.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mencetuskan pelbagai reaksi apabila mengumumkan rancangan kerajaan untuk bina litar lumba drag di setiap negeri sewaktu menghadiri perhimpunan RXZ Members 4.0 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. – The Malaysian Insight

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply