HLYM Previu Skuter Elektrik Yamaha E01 – 8.1kW, 80-100KM Sekali Cas

Kami berpeluang menyaksikan motosikal elektrik pertama dari Yamaha, Yamaha E01 sewaktu acara Karnival Yamaha GenBlu di Teluk Batik, Perak, pada Sabtu.

Dipertonton secara global pada Januari lalu, skuter elektrik itu akhirnya membuat penampilan di Malaysia menerusi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).

Penampilan motosikal itu sudah pun dijangka apabila Yamaha Jepun mengumumkan Malaysia antara negara terpilih menguji kemampuan skuter itu disini.

Ujian tersebut memfokuskan jarak perjalanan, kaedah pengecasan dan masa yang akan diambil sewaktu mengecas yang sememangnya menjadi cabaran utama bagi mobiliti elektrik.

Menariknya, Yamaha E01 tampil dengan dimensi hampir sama dengan model sedia ada Yamaha Nmax namun akan digerakan bateri lithium-ion 4.9kWh yang mampu menjana 8.1kW (10.8hp) pada 5,000rpm dan 30.2Nm pada 1,950rpm.

Sebagai skuter urban, Yamaha E01 menawarkan boleh mencapai jarak perjalanan hingga 100km dan mampu mencapai kelajuan 100km/j.

Terdapat tiga pilihan pengecas bagi Yamaha E01:

  • pengecas konvensional (rumah) – 6 jam hingga penuh
  • pengecas pantas (pengedar) – 1 jam hingga 80 peratus
  • pengecas mudah alih – 13 jam hingga penuh

Harga dan ketersediaan Yamaha E01 untuk pasaran Malaysia masih belum dimaklumkan namun kami diberitahu bahawa harga motosikal elektrik ini adalah sekitar harga Yamaha XMax 250. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]