Mekanik Maut Dirempuh Trak Pikap Langgar Lampu Merah

Advertisements

Seorang mekanik tercampak sejauh 20 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada dada dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Pada masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala Pasir Mas telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh kira-kira 20 meter dari motosikalnya ke kiri jalan menghala Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Rosdi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.