Penunggang Kebanyakkannya Tidak Menggunakan Laluan Motosikal

Advertisements

Penunggang tidak menggunakan laluan motosikal antara kesalahan tertinggi dicatatkan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthtie).

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi ini dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pelbagai kesalahan trafik dikesan melibatkan 124 saman dikeluarkan kepada pengguna.

“Kesalahan melibatkan penunggang yang tidak menggunakan laluan motosikal disediakan antara kesalahan tertinggi melibatkan sebanyak 110 saman dikeluarkan.

“Selain itu, antara kesalahan lain melibatkan kesalahan nombor plat (enam saman), kesalahan melibatkan lesen memandu (lima saman), lesen kenderaan motor (LKM) (tiga saman),” kata beliau.

Katanya lagi, operasi dijalankan turut melibatkan pemeriksaan sebanyak 183 kenderaan dan 198 individu telah diperiksa.

“Operasi yang dijalankan selama dua jam ini turut membuat tangkapan dua kes narkotik dan rampasan dadah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan saman,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.