Seorang anggota polis disahkan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di KM 2, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, semalam.
Anggota polis tersebut menunggang motosikal jenis Benelli TNT600 sewaktu kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi.
Mangsa disahkan sebagia Koperal Zarif Affandi, 31, bertugas di Balai Polis Petaling Jaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arsad Kamaruddin mengesahkan motosikal mangsa telah merempuh sebuah kereta jenis BMW.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa anggota polis tersebut menunggang motosikal dari Petaling Jaya menuju Genting Highlands.
“Sebaik tiba di tempat kejadian yang merupakan selekoh tajam, motosikal mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta BMW yang datang dari arah tersebut,” jelasnya.
Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian setelah mengalami pendarahan dalaman sementara pemandu BMW berusia 63 tahun tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, insiden kemalangan tersebut turut dirakam dan tular di media sosial.
Berdasarkan rakaman berdurasi 5 saat itu, mangsa seakan tidak menjangka selekoh yang tajam lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta BMW terbabit. – KOSMO