Henti Agungkan Mat Rempit, Pelumba Haram Sebagai Wira – Ketua Polis P. Pinang

Pihak berkuasa Pulau Pinang akan berusaha keras dalam mengubah budaya anak muda tempatan dalam mengagungkan mat rempit kerana boleh membawa mudarat kepada semua pihak.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Kita melihat, mereka telah mengangkat pelumba haram yang memenangi perlumbaan sebagai ‘wira’ sedangkan budaya tersebut amat jijik. Kadang-kadang, bengkel yang telah mengubahsuai motosikal yang memenangi perlumbaan haram mendapat nama dan tersebar sebagai bengkel yang berjaya menghasilkan motosikal yang laju.

“Ini adalah pandangan yang menjijikan dan bukan mendatangkan kebaikan. Oleh demikian, masyarakat, media dan ibu bapa diharap dapat membantu kita dalam usaha membanteras pelumba haram ini secara keseluruhannya,” jelasnya.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim, mengharapkan usaha menangani gejala lumba haram menerusi pendekatan rakam gambar wajah sebelum membuat penahanan di rumah atau di tempat kerja berjaya dilaksanakan.

“Berdasarkan statistik sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,096 operasi samseng jalanan dijalankan di seluruh negara dan seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dengan 21,258 saman dikeluarkan manakala 2,200 kenderaan telah disita.

“Daripada jumlah itu, Perak merekodkan operasi samseng jalanan paling tinggi iaitu 286 operasi dan 4,597 saman dikeluarkan diikuti Pulau Pinang dengan 157 operasi membabitkan 4,444 saman dan Johor, 157 operasi dan 1,436 saman,” ujarnya.

Masalah lumba haram terutamanya di Pulau Pinang kembali mencuri tumpuan apabila kejadian pada 17 Julai lalu menyaksikan lima nyawa terkorban dengan dua lagi alami cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu yang berpunca dari lumba haram. – SH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]