MotoGP: Tiga Jentera Itali ‘Tapau’ Podium Di Silverstone

Saingan MotoGP kembali bersambung di Litar Silverstone dengan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia muncul juara di GP Britain.

Kemenangan di Silverstone turut menyaksikan Bagnaia menyumbang podium ke-18 berturut-turut bagi Ducati yang merupakan catatan terbaik setakat ini. Kejayaan di Silverstone juga merupakan yang keempat bagi Bagnaia musim ini sekaligus menduduki tangga ketiga kejuaraan dengan 131 mata.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik wakil Aprilia, Maverick Vinales, yang memaparkan tunggangan mantap sepanjang perlumbaan.

Ini merupakan podium kedua berturut-turut bagi Vinales selepas menduduki tempat ketiga sewaktu di Assen, Jun lalu.

Walaupun jatuh sehingga kedudukan keenam – meskipun bermula di petak kedua – Vinales bangkit dengan aksi cemerlang untuk ekori rapat kelompok depan di samping merekodkan catatan masa perlumbaan terpantas.

Sebaik memintas Jack Miller (Ducati) untuk menduduki tempat kedua, Vinales berjaya kejar Bagnaia dan cuba melakukan pintasan terakhir terhadap Bagnaia pada Turn 13 – ketika perlumbaan berbaki 2 lap – namun pelumba Ducati itu ternyata memiliki kelajuan yang lebih baik.

Tempat ketiga jadi milik rakan sepasukan Bagnaia, Miller, yang berjaya memperbaiki keputusan P6 di Assen untuk kembali menaiki podium.

Walaupun akan berhijrah ke KTM musim depan namun Miller ternyata membuktikan dirinya masih lagi mampu beri tentangan sengit.

Keputusan tersebut turut menyaksikan podium di GP Britain didominasi jentera Itali menerusi Ducati dan Aprilia.

Dalam perkembangan sama, pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan.

Walaupun bermula di petak keempat dan berjaya menempatkan dirinya di tempat kedua di awal perlumbaan namun pelumba Perancis itu terpaksa menjalani ‘long lap penalty’ sekaligus jatuh ke kedudukan kelima.

Dia bagaiamanpun mudah dipintas Miguel Oliveira (KTM), Enea Bastianini (Gresini) dan Jorge Martin (Pramac) lantas menyukarkan usahanya untuk merebut kedudukan podium.

Meskipun begitu, Quartararo terus mendahului kejuaraan dengan 180 mata, 22 mata di hadapan pencabar terdekat Aleix Espargaro yang akur ditempat kesembilan.

Pelumba Pramac, Johann Zarco, menimpa nasib malang apabila terbabas sewaktu mendahului perlumbaan di awal saingan. Walaupun bermula baik namun, pelumba Perancis itu seakan hilang kawalan lalu memberi ruang kepada pelumba lain untuk memintas.

Saingan MotoGP akan kembali dalam tempoh dua minggu lagi di Litar Red Bull Ring

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

  1. Francesco Bagnaia
  2. Maverck Vinales
  3. Jack Miller
  4. Enea Bastianini
  5. Jorge Martin
  6. M. Oliveira
  7. Alex Rins
  8. Fabio Quartararo
  9. Aleix Espargaro
  10. Marco Bezzechi
  11. Brad Binder
  12. Luca Marini
  13. Takaaki Nakagami
  14. Pol Espargaro
  15. Franco Morbidelli
  16. Andrea Dovizioso
  17. Alex Marquez
  18. Remy Gardner
  19. Stephan Bradl
  20. Darryn Binder
  21. Raul Fernandez
  22. Fabio Di Giannantonio
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]