WMOTO RT3 (S) Dinaik Taraf Dengan Skrin TFT – RM17,888

Skuter maxi WMOTO RT3(S) telah dikemas kini bagi tahun 2022 dengan paparan skrin TFT menggantikan skrin digital pada model RT3 yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

Menurut pengedar rasmi jenama WMOTO di Malaysia, WMOTO RT3S ini tampil dengan tiga pilihan warna; Union Red, Youth Grey dan Justice Blue dan ditawarkan pada harga RM17,888 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Menariknya, paparan skrin TFT ini juga dilengkapi ciri User Interface yang menawarkan mod cahaya dan mod malam mengikut keadaan cuaca semasa. Mod tersebut juga boleh ditukar mengikut keamatan cahaya semasa.

Selain itu, RT3S ini juga dilengkapi dengan ciri ‘Tyre Pressure Monitoring System’ (TPMS), ciri yang kebiasaanya ada pada motosikal bersesaran lebih besar.

Pada masa sama, sebagai memberi peringatan tempoh servis, paparan skrin TFT tersebut akan memaparkan logo ‘spanar’ sebaik mencapai perbatuan tertentu.

Bagaimanapun, ciri lain yang masih lagi dikekalkan adalah penggunaan smart key, sistem ABS dari Bosch, tangki 17L, tayar 120/7-15 depan dan 140/60-14 belakang.

WMOTO RT3S ini juga masih lagi dikuasakan enjin silinder tunggal 247cc DOHC yang menawarkan 23hp pada 8,000rpm dan 22.5Nm pada 6,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]