Hanya Kerana Larang Guna Motosikal, Anak Tergamak Ugut Bunuh Ibu Sendiri

Advertisements

Hanya kerana dihalang menggunakan motosikal, seorang lelaki bersenjatakan pisau sanggup mengugut mahu membunuh ibunya di rumah mereka di Bandar Perdana, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 20 tahun berkenaan baru tiba di rumah sebelum dia meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ibu suspek yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak membenarkannya menggunakan motosikal itu kerana dia baru pulang selepas tiga hari keluar rumah.

“Suspek yang berang secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu membunuh ibu dan juga adik-beradiknya yang berada dalam rumah.

“Bimbang dengan tindakan anaknya serta keselamatan mereka sekeluarga, wanita terbabit terus menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui bilik gerakan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja kilang tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.