2022 Musim Terakhir Untuk Vettel

Advertisements

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel mengumumkan persaraannya daripada Formula Satu pada penghujung musim ini dengan mahu menumpukan lebih masa kepada keluarga serta aktitivi di luar sukan itu.

Jaguh berusia 35 tahun dari Jerman itu menjuarai gelaran dengan Red Bull pada 2010-13 dan menyertai Ferrari selama enam musim sebelum berpindah ke Aston Martin yang sekadar menduduki tempat kesembilan daripada 10 pasukan.

Dia membuat pengumuman itu menjelang Grand Prix Hungary hujung minggu ini, perlumbaan ke-13 dan yang terakhir sebelum berehat seketika Ogos depan.

“Saya dengan ini mengumumkan persaraan daripada Formula Satu pada penghujung musim 2022,” katanya dalam sidang video di Instagram.

“Saya cintakan sukan ini. Ia menjadi sebahagian hidup saya tetapi kehidupan di luar litar perlu difikirkan. Menjadi pelumba kereta tidak pernah menjadi satu-satunya identiti saya.

“Selain perlumbaan, saya ada keluarga yang semakin membesar dan saya mahu berada di samping mereka. Saya mempunyai perkara lain di luar Formula Satu,” kata Vettel, bapa kepada tiga cahaya mata.

Vettel menduduki tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak perlumbaan sepanjang zaman dengan 53 kemenangan di belakang juara tujuh kali Lewis Hamilton (103) dan Michael Schumacher (91). Kemenangan terakhirnya bersama Ferrari di Monza pada 2019.

Advertisements