52 Penunggang Motosikal Didenda Atas Pelbagai Kesalahan di Bentong

Seramai 52 penunggang motosikal telah disaman Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong melibatkan pelbagai kesalahan ketika Op Motosikal di lorong Tol Karak. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, melalui Op Motosikal antara pukul 10.30 pagi sehingga 1 tengah hari di laluan tersebut, polis trafik telah mengesan antaranya kesalahan menunggang tanpa lesen yang sah, pengubahsuaian spesifikasi motosikal yang boleh mengundang bahaya serta pelbagai kesalahan lain.

“Operasi ini untuk mendidik pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sama ada melibatkan penunggang sendiri atau membahayakan orang lain.

“Kita mendapati walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan, masih ada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan masing-masing,” katanya.

Penunggang terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 26, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM300 dan maksimum melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

“Polis memandang serius tentang penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas dan tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan berasaskan undang-undang lalu lintas.

“Hal ini kerana kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal merupakan penyumbang tertinggi bagi kes kemalangan di kawasan IPD Bentong,” kata Zaiham lagi.

Beliau menambah, IPD Bentong kerap menerima aduan dan rungutan orang ramai yang bimbang serta tidak berpuas hati dengan cara penunggang motosikal yang tidak menghiraukan keselamatan orang ramai.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply