Jualan Ducati Malaysia Naik 30 Peratus Setakat Mei 2022

Meskipun pasaran motosikal dunia terjejas dengan isu semikonduktor yang sekaligus memberi impak terhadap aspek pengeluaran dan harga, namun permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat di Malaysia.

Bukan itu sahaja, ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ducati Malaysia, dibawah kendalian Dennis Michael berjaya memastikan permintaan terhadap motosikal jenama Itali itu terus meningkat.

Bukan itu sahaja, Ducati Malaysia juga berjaya memastikan permintaan pelanggan berjaya dipenuhi walaupun pusat jualan tidak dibuka dengan orang ramai tidak dibenarkan hadir.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pacific, Marco Biondi, ketika ditemui pada Mei lalu.

Biondi turut meluahkan rasa kagum dengan kemampuan Ducati Malaysia dalam memastikan perniagaan berjalan walaupun pasaran Ducati di rantau lain terjejas.

“Ketika pandemik kami sangat gembira dengan Dennis (Michael) dan pasukannya kerana berjaya memastikan jualan motosikal Ducati berjalan.

“‘Lockdown’ memberi kesan besar pada kami semua tetapi Ducati Malaysia tetap pastikan perniagaan mereka berjalan terutamanya menerusi jualan atas talian.

“Mereka cukup fleksibel dalam memastikan permintaan pelanggan tetap dipenuhi termasuk motosikal dan aksesori jadi kami sangat gembira,” jelasnya.

Menariknya, kejayaan Ducati Malaysia dalam memastikan permintaan pelanggan dipenuhi juga telah menyaksikan Malaysia muncul sebagai pasaran paling pesat membangun bagi jenama motosikal Itali itu.

“Kini kami teruja kerana Malaysia kini merupakan pasaran yang paling berkembang dengan pesat di rantau ini.

“Malaysia setakat ini mencatatkan peningkatan 30 peratus sehingga bulan Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu” tambah Biondi lagi.

Sementara itu, Dennis Michael juga menjelaskan walaupun pasaran motosikal ketika ini terpalit dengan masalah kekurangan cip semikonduktor namun, permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat.

“Tahun lepas sahaja Ducati berjaya jual lebih 60,000 unit seluruh dunia walaupun dalam tempoh pandemik dan tahun ini sahaja angka itu sudah hampir untuk diatasi (walaupun baru 6 bulan).

“Di Malaysia, jualan meningkat 30 peratus berbanding tahun lalu jadi itu jelas membuktikan bahawa walaupun dengan isu semikonduktor, namun pelanggan tetap sanggup tunggu untuk mendapatkan motosikal mereka,” katanya.

Ducati Malaysia telah pun memulakan kalendar 2022 dengan pelancaran enam model baharu baru-baru ini antaranya Multistrada V2, Streetfighter V2, Streetfighter V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Scrambler Urban Motard dan Scrambler 1100 Tribute Pro.

Ketibaan enam model baharu ini dijangka akan terus memacu permintaan motosikal Ducati di Malaysia sekaligus memberi impak positif terhadap pasaran jenama itu di rantau Asia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply