Polis Buru Penunggang Motosikal Khayal Hidu Gam

Polis kini sedang memburu penunggang motosikal yang baru-baru ini telah tular melalui sebuah video di Facebook, yang menunjukkannya dalam keadaan khayal, dipercayai akibat menghidu gam.

Rakaman video berdurasi 40 saat itu telah dikongsikan halaman “Mynewshub” lebih kurang pukul 6.30 petang beberapa hari yang lepas.

“Menerusi rakaman tersebut, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan di sini melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

Video itu memaparkan motosikal itu ditunggang oleh seorang lelaki seorang diri sedang bergerak di lorong tengah lebuh raya.

“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” kata Nanda.

Beliau berkata, sehingga kini suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenalpasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply