Orang Asli Gadai Nyawa 50 Tahun Guna Jalan Rosak

Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar, Gua Musang merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan ke kampung mereka.

Masalah kerosakan teruk di laluan itu yang tak pernah selesai menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian penduduk sejak lebih 50 tahun lalu.

Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, berkata mereka sudah lama menanti pihak kerajaan membina jalan yang selesa bagi memudahkan mereka melakukan urusan di bandar Gua Musang termasuk ke hospital dan sekolah.

Alek berkata penduduk Orang Asli di situ tidak ingin terus bergadai nyawa setiap kali harus mengikuti jalan itu, dan amat berharap pihak kerajaan dapat membantu.

“Jalan ini amat penting kerana menjadi laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah.

“Apabila kami buat aduan kepada pihak berkuasa, mereka seolah-olah tidak ambil endah. Guru yang masuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar turut berdepan masalah apabila motosikal dan kereta sering terbalik,” katanya.

Penghulu Kampung Manjun, Aja Along, 69, pula mendakwa, sebelum ini mereka dijanjikan dengan Projek Pembangunan Bersepadu di perkampungan Orang Asli Gua Musang, termasuk pembinaan infrastruktur jalan.

Namun begitu, setakat ini penduduk di situ tidak tahu mengenai status dan perkembangan projek berkenaan.

“Ketika musim tengkujuh baru-baru ini, pelajar dari Pos Balar bertolak pada pukul 3 petang untuk ke asrama dan pukul 5 pagi baharu sampai di bandar Gua Musang disebabkan jalan rosak,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa dari Pos Balar, Kamal Alek, 36, pula berkata ibu bapa di situ amat risau mengenai keselamatan anak-anak yang harus menggunakan jalan itu untuk ke sekolah.

Tambahnya lagi, penduduk di situ sudah membuat surat aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah jalan ke perkampungan Orang Asli.

“Kami sekali lagi menghantar surat aduan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada Mac lalu supaya mengambil tindakan untuk menaik taraf jalan kampung Orang Asli yang amat teruk.

“Selain Pos Balar, pos penempatan yang masih menggunakan jalan balak ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply