Honda, Yamaha, Kawasaki Dan Suzuki Bakal Singkir 20 Model Hujung Tahun Ini

Advertisements

Susulan peraturan baharu emisi yang akan dilaksanakan di Jepun, empat jenama besar motosikal di negara itu, Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki dilaporkan bakal memberhentikan pengeluaran beberapa model bermula hujung tahun ini.

Rombakan tersebut akan dilakukan bagi mencapai standard emisi terbaru di Jepun.

Pelaksanaan peraturan emisi di Eropah juga telah menyaksikan beberapa model jenama Jepun telah dihentikan pengeluaran dan jualan antaranya Yamaha R6 dan FJR1300.

Yamaha kini hanya meneruskan pengeluaran R6 Race, sebuah model yang hanya khas untuk kegunaan litar lumba.

Pemberhentian beberapa model itu juga akan berlaku di Jepun dengan laporan terbaru mendakwa Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki akan menghentikan 10 peratus daripada 190 model yang ditawarkan ketika ini.

Honda akan menghentikan 10 daripada 80 model sedia ada dengan khabar angin mengatakan model ikonik, Gold Wing akan turut menjadi mangsa. Baru-baru ini, Honda telah pun menghentikan pengeluaran CB400 Super Four.

Langkah sama akan turut diikuti Suzuki yang dikatakan akan menghentikan beberapa model termasuk GSX-R250.

Bagaimanapun, keempat-empat jenama ini dijangka akan memberi fokus pada jentera elektrik bagi kembali memperkembangkan tawaran model baharu untuk pasaran dunia.

Namun, dengan keempat-empat jenama ini merangkumi 40 peratus daripada bekalan motosikal dunia, penyingkiran lebih 20 model itu pastinya akan memberi impak besasr pada pasaran motosikal dunia.

Advertisements