Pelumba Moto2, Pedro Acosta tidak akan beraksi di GP Belanda hujung minggu ini di Litar Assen selepas mengalami kecederaan patah kaki.
Perkara itu disahkan pasukan Red Bull KTM Ajo yang menjelaskan bahawa Acosta mengalami patah tulang femur kiri dan akan menjalani pembedahan pada Rabu.
Menurut laporan, pelumba berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan motocross dan ketika ini telah pun berada di Barcelona untuk jalani pembedahan.
Ketika ini, KTM Ajo tidak memberikan tempoh pelumba Sepanyol itu akan diketepikan namun memandangkan kejuaraan dunia Moto2 akan berehat selama lima minggu selepas GP Belanda sebelum kembali bersambung di Silverstone pada 7 Ogos, jarak waktu tersebut akan memberi peluang pada Acosta untuk kembali pulih.
Acosta ketika ini menghuni kedudukan kelapan dalam kejuaraan dunia Moto2 dan menamatkan saingan minggu lalu di tempat kedua.
Tahun lalu, Acosta menjadi pelumba ‘rookie’ pertama untuk menjuarai Moto3 selepas kali terakhir dilakukan Loris Capirossi.