Kereta Berharga RM160k Ke Atas Paling Banyak Guna Nombor Plat ‘Fancy’

Advertisements

Kajian terbaru oleh Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) mendapati rata-rata pemilik kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ adalah mereka yang memandu kereta bernilai RM160,000 ke atas.

Menurut Cent-GPS, kajian tersebut telah dijalankan di beberapa lokasi dalam bandar dan membabitkan 1,256 kereta yang tidak menggunakan nombor plat mengikut piawaian ditetapkan.

“56 peratus kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ merupakan kereta bernilai RM160,000 ke atas manakala 13 peratus lagi adalah kereta bernilai antara RM80,000 hingga RM120,000.

“Baki 13 peratus lagi adalah kereta yang bernilai antar a RM120,000 hingga RM160,000 sementara hanya lapan peratus sahaja bagi kereta bernilai RM50,000 ke bawah,” jelas kajian tersebut.

Menariknya, kajian oleh Cent-GPS itu juga mendapati kumpulan T20 paling banyak menggunakan nombor plat ‘fancy’.

“Daripada jumlah kereta yang guna nombor plat ‘fancy’ di Lembah Klang, kami anggarkan 58.5 peratus adalah dari kumpulan T20, 25.6 peratus dari M40 dan hanya 15.9 peratus dari B40,” tambahnya.

Bagaimanapun, kajian tersebut tidak babitkan pengguna motosikal jadi keputusan kajian bahawa T20 lebih cenderung menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi sebagai kurang tepat.

Penggunaan nombor plat ‘fancy’ atau tidak mengikut standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu kesalahan dengan pemilik kereta boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM300 atau tidak lebih dari RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malay Mail

Advertisements