MotoGP: Bagnaia Raih Kemenangan Pertama Di Mugello, Marquez Ucap Selamat Tinggal

Francesco Bagnaia menampilkan aksi mantap di laman sendiri untuk merekodkan kemenangan pertama dalam kariernya di Litar Mugello.

Pelumba Ducati itu yang bermula dipetak kelima ternyata menggunakan pengalaman yang ada untuk mudah memintas barisan pertama yang dibarisi pelumba muda.

Bagnaia terus mendominasi sebahagian besar perlumbaan sebelum melintas garisan penamat sebagai pemenang diikuti tempat kedua, Fabio Quartararo.

Quartararo yang bermula di petak keenam juga tidak berdepan kesukaran untuk menduduki tempat kedua dengan memintas Fabio Di Giannantonio (Gresini), dan gandingan VR46, Luca Marini serta Marco Bezzechi.

Kedudukan kedua itu terus mengukuhkan tempat Quartararo selaku pendahulu kejuaraan dengan 122 mata selepas lapan pusingan.

Sementara itu, Aleix Espargaro terus cemerlang apabila menamatkan aksi di kedudukan ketiga kali keempat beturut-turut.

Walaupun satu ketika kemaraan disekat Marini dan Bezecchi namun berbekalkan pengalaman, Espargaro berjaya mencari ruang untuk memintas ketika perlumbaan memasuki peringkat penghujung.

Kejayaan Espargaro memastikan dia kekal antara pencabar kejuaraan dengan 114 mata, hanya lapan mata dibelakang Quartararo.

Dalam perkembangan sama, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez, berjaya menamatkan aksi di tempat ke-10 yang merupakan penampilan terakhirnya musim ini.

Marquez terpaksa undur diri dari musim 2022 setelah bakal menjalani pembedahan tangan kanan pada Selasa ini sekaligus akan berehat panjang untuk tujuan pemulihan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]