Tiada Tempat Untuk Jack Miller Di Factory Ducati Musim 2023 – Paolo Ciabatti

Ducati sedang berdepan dengan dilema kerana perlu memilih satu daripada beberapa calon bagi mengisi slot di pasukan factory.

Jorge Martin (Pramac) dan Enea Bastianini (Gresini Racing) muncul antara nama disebut-sebut akan diangkat ke skuad factory Ducati untuk digandingkan dengan Francesco Bagnaia bagi musim 2023.

Ini sekaligus bermakna kedudukan Jack Miller di Ducati tidak lagi selamat.

Lebih malang, Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti, turut memberitahu speedweek.com bahawa pelumba Australia itu telah dimaklumkan bahawa tiada jaminan tempatnya akan kekal menjelang musim 2023.

“Pertama sekali kita perlu tunggu dan lihat apa Jack Miller akan lakukan.

“Sudah tentu kami dengar dia sedang berbincang dengan KTM. Itu bukan satu rahsia.

“Kami telah memberitahu Jack dan pengurusnya, Aki Ajo; jika kamu mahukan tempat di pasukan factory, sila cari pilihan lain kerana buat masa ini kami tidak boleh menawarkan tempat di pasukan factory bagi musim 2023,” jelas Ciabatti.

KTM sememangnya mensasarkan Jack Miller bagi musim 2023 bagi menggantikan Miguel Oliveira yang dilaporkan akan diturunkan ke pasukan Tech 3 KTM.

Ini kerana pelumba Tech 3 sedia ada, Raul Fernandez, dikatakan kembali menjadi sasaran Razlan Razali setelah pasukan RNF Racing disahkan bergerak sebagai satelit Aprilia musim depan. – MS

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]