Terbukti Efektif, JPJ Negeri Sembilan Cadang Tambah Dron

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bercadang untuk menambah lima lagi dron dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan di negeri itu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, penggunaan dron ternyata efektif sewaktu Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA)  2022 yang berjalan sejak 29 April lalu.

Jelas Hanif, ini merupakan kali pertama dron tersebut diguna pakai secara meluas pada Ops HRA 2022 kali ini.

“Sebanyak dua dron telah digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

“Sepanjang operasi kali ini, dua orang pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron dengan 30 notis saman telah dikeluarkan (pemantauan dron) bagi kesalahan utama tersebut,” jelas Hanif.

Tambah Hanif lagi, pihaknya juga bercadang untuk menghantar pegawai menjalani latihan agar dapat mengendalikan dron dengan lebih baik.

Penggunaan dron ternyata berkesan dalam menangani pesalah trafik terutamanya merakam aksi pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, langgar lampu merah dan potong barisan. – UTUSAN