WDW 2022: ‘We Ride As One’ Satukan Pemilik Ducati Di Malaysia!

Sempena World Ducati Week 2022 yang akan berlangsung secara besar-besaran di Misano World Circuit Marco Simoncelli pada Julai nanti, Ducati Malaysia bersama-sama Ducatisti telah bersatu di bawah motto ‘Let’s Ride As One’.

Program ‘We Are Ducati, We Ride As One’ menyaksikan pemilik motosikal Ducati seluruh negara berkumpul di Ducati Petaling Jaya, Ducati Welly dan Ducati Penang bagi bersama-sama meraikan WDW 2022.

Kami turut diberi peluang menyertai acara kali ini berbekalkan jentera Ducati Multistrada 950S yang merupakan antara model ditawarkan Ducati Malaysia sebelum ini.

Berkumpul di Ducati Petaling untuk sesi sarapan pagi, konvoi kemudiannya bergerak ke Ducati Welly untuk menghadiri rumah terbuka.

Konvoi kemudiannya bergerak ke pusat pameran terbaru Ducati Welly yang dijangka akan dibuka hujung tahun ini.

Sebagai pelengkap, konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka untuk sesi bergambar dengan jentera masing-masing sambil berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Menariknya, pemilik Ducati di negara Asia lain termasuk Korea Selatan, India, Singapura, Filipina, Thailand dan Myanmar turut menghangatkan ‘We Ride As One’ dengan mengadakan acara konvoi masing-masing sempena WDW 2022.

WDW 2022 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai ini merupakan edisi yang ke-11 dianjurkan.

Berbeza kali ini, WDW 2022 akan memberi tumpuan kepada acara ‘The Race of Champions’ di mana pelumba MotoGP, Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dan World Supersport Ducati bersaing antara satu sama lain di Litar Misano.