CFMoto 450SR Bakal Tiba, Lancar Di MotoGP Malaysia Oktober Ini – 50HP, 39Nm

Advertisements

Pada penghujung Mac lalu, jenama pengeluar motosikal China, CFMoto telah pun memperkenalkan jentera terbaru, 450SR untuk pasaran dunia.

Motosikal tersebut, yang dibangunkan daripada model prototaip SR-C21 merupakan jentera segmen ‘sportsbike’ serba baharu yang diperkenalkan CFMoto.

Dalam perkembangan yang lebih menarik, kami dimaklumkan bahawa model 450SR serba baharu itu akan turut dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Menurut info yang disampaikan kepada kami, pengedar tempatan, CFMOTO Malaysia akan melancarkan CFMoto 450SR itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini sewaktu pusingan MotoGP Malaysia.

GP Malaysia sememangnya platform paling sesuai bagi pelancaran model terbabit apatah lagi CFMoto mempunyai pasukan di kelas Moto3.

Ini secara tidak langsung menyaksikan 450SR akan sertai 250SR yang telah dilancarkan sebelum ini.

CFMoto 450SR merupakan jentera sportsbike bernadikan enjin parallel-twin 449cc 270-darjah yang berkeupayaan menghasilkan 50hp dan 39Nm.

Angka kuasa itu sekaligus meletakkan CFMoto 450SR antara pesaing utama Kawasaki Ninja 400 (49hp) dan KTM RC390 (44hp).

Selain daripada enjin berkuasa, CFMoto 450SR juga datang dengan rekaan yang sporty dan agresif termasuk menawarkan ciri ‘winglet’ yang terdapat pada model prototaip SR-C21 sebelum ini.

CFMOTO juga mendakwa 450SR ini mampu merekodkan kelajuan maksima 190km/j.

Advertisements