RASMI: Marc Marquez Terlepas Aksi GP Argentina

Marc Marquez disahkan tidak akan terlibat dengan pusingan kedua MotoGP di Argentina ekoran masih lagi terkesan dengan diplopia (penglihatan berganda).

Enam kali juara dunia MotoGP itu mengalami kemalangan serius sewaktu sesi pemanas badan di Litar Mandalika pada 20 Mac lalu dan terpaksa diketepikan daripada aksi perlumbaan.

Dia kemudiannya disahkan mengalami diplopia kali kedua ekoran daripada kemalangan yang dialaminya.

Dalam perkembangan terkini, kem HRC mengesahkan pelumba Repsol Honda itu akan turut terlepas aksi di GP Argentina dalam usaha untuk kembali pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, sewaktu pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa penglihatan Marquez semakin pulih dan bertambah baik.

“Penilaian kedua yang dijalankan terhadap Marquez pada Isnin menunjukan pemulihan yang baik terhadap saraf keempat di sebelah kanan yang terkesan ekoran terjatuh sewaktu di GP Indonesia.

“Namun, pemulihan masih belum sempurna dan Marquez harus mematuhi rejim terapeutik dan rawatan konservatif (untuk pulih sepenuhnya),” jelas Dr Sanchez Dalmau.

Keadaan semasa Marc Marquez mencetuskan pelbagai tanda tanya terhadap karier pelumba itu sejak kemalangan ngeri yang dihadapainya di Jerez pada musim 2020.

Insiden tersebut menyaksikan dia terpaksa jalani dua pembedahan di bahagian tangan tangan sehinggakan terlepas baki keseluruhan musim 2020 dan permulaan musim 2021.

Ketika perkembangannya tampak baik bagi musim 2022, kemalangan di Litar Mandalika kembali menjejaskan peluang pelumba Sepanyol itu untuk bersaing di peringkat tertinggi musim ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]