Tidak dinafikan, Honda RSX 150 – lebih dikenali sebagai Winner X di Vietnam – merupakan motosikal moped yang cukup popular di Asia Tenggara.
Ini kerana rekaan keseluruhan yang tampak moden menjadikan RSX 150 antara moped yang mempunyai ikutan tersendiri termasuk di Malaysia.
Ketika ini motosikal tersebut juga dipasarkan di Kemboja, Singapura dan Burkina Faso yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.
Mei tahun lalu, Winner X juga telah dipasarkan di Jepun dengan dua versi ditawarkan, Standard dan ABS.
Memahami permintaan terhadap moped tersebut semakin meningkat naik, sebuah syarikat motosikal di China telah menghasilkan klon RSX 150 untuk ditawarkan di pasaran negara itu.
Sekali imbas, model tersebut sememangnya tampak sama seperti model yang sebenar oleh Honda.
Bagaimanapun selepas beberapa penelitian terdapat aspek yang ternyata berbeza antaranya penggunaan sistem penyejukan udara, cakera brek dan enjin.
Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada versi klon itu turut bernadikan enjin 150cc namun apa yang pasti rekaan panel badan termasuk lampu depan dan belakang menyamai model Honda RSX 150 yang sebenar.