RASMI: SIC Anjur MotoGP 2022 Hingga 2024

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah kembali menganjurkan Kejuaraan Dunia MotoGP bermula tahun ini selepas dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

Perkara itu disahkan pihak SIC dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lebih menggembirakan, Dorna juga mengesahkan SIC juga bakal menganjurkan MotoGP hingga 2024 dengan semua pihak telah pun berbincang untuk melanjutkan hingga 2026.

Sementara itu, Petronas juga diumumkan sebagai penaja utama MotoGP di Malaysia bermula tahun ini menggantikan penaja terdahulu Shell Malaysia.

Ini sekaligus menamakan GP Malaysia sebagai ‘Petronas Grand Prix of Malaysia’.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perbincangan pertama bagi melanjutkan kontrak penganjuran bersama Dorna Sports telah selesai dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya.

“Dengan corak kehadiran peminat yang semakin meningkat saban tahun, kami tidak sabar untuk kembali menyambut peminat ke Litar Antarabangsa Sepang selepas dua tahun berehat ekoran pandemik.

“Selaras dengan tema #WelcomeHome, tahun ini adalah tentang menghidupkan semula sukan permotoran antarabangsa di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Pada masa sama, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta turut gembira menyaksikan Malaysia akan kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2024.

“Kami teruja GP Malaysia akan terus menganjurkan MotoGP hingga 2024. Malaysia merupakan pasaran penting bagi MotoGP dan kami berbesar hati untuk berlumba di Sepang bersama peminat yang sentiasa bersemangat memenuhi grandstand.

“Selepas ujian pra-musim di SIC tahun ini, kami tak sabar untuk kembali untuk perlumbaan sebenar,” ujarnya.

Berdasarkan kalendar semasa MotoGP, SIC dijadualkan menganjur MotoGP pada 21 hingga 23 Oktober 2022.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]