Pemandu Wanita Dakwa Dipukul, Polis Johor Panggil 10 Pemandu Konvoi Kereta Mewah

Polis Johor akan memanggil 10 pemandu konvoi kereta mewah yang bertindak memberhentikan kenderaan di Kilometer 34 Lebuhraya Utara Selatan, Jumaat lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang menjelaskan kesemua individu terlibat dipanggil bagi bertujuan merakam kenyataan susulan insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, sekumpulan pemilik kereta mewah yang berkonvoi telah bertindak menyekat jalan dan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu seorang wanita yang didakwa berada dalam keadaan mabuk.

Wanita berusia 28 tahun tersebut juga telah pun ditahan di perkarangan IPD Kulai pada jam 1 pagi, semalam dan akan direman tiga hari.

Menurut Kamarul, pemandu wanita tersebut turut membuat laporan polis dan mengadu dipukul individu yang sertai konvoi kerta mewah tersebut.

“Seramai 10 individu akan dipanggil untuk memberi kenyataan petang ini berikutan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat antara 10 atau lebih individu terbabit dalam insiden kekecohan selain menghalang lalu lintas di lebuh raya berkenaan Jumaat lalu.

“Polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu,” jelas Kamarul.

Difahamkan, pemandu wanita tersebut telah melanggar sebuah kereta jenis Lamborghini ketika cuba memotong kenderaan konvoi lain.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati punca insiden tersebut berlaku kerana wanita itu didapati telah panik sebelum berlakunya perlanggaran. – BH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply